Saturday, August 3, 2013

10% Cawangan Umno Seluruh Negara Selesai Mesyuarat

Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata sebanyak 10 peratus daripada lebih 20,000 cawangan Umno seluruh negara telah selesai melaksanakan mesyuarat pemilihan masing-masing. 

Beliau berkata laporan daripada Setiausaha Kerja Umno Pusat juga mengesahkan kesemua mesyuarat tersebut berjalan lancar termasuk berhubung penggunaan sistem pengesahan perwakilan pemilihan Umno. 

"Mungkin ada tempat tidak ada mesin untuk mengimbas tetapi macam kita di Sembrong kita ada sistem sokongan dengan memasukkan data secara manual untuk mengesahkan mereka sebagai ahli," katanya ketika berucap pada perasmian berkelompok Persidangan Cawangan dan Pergerakan Sayap-sayap Cawangan Umno Bahagian Sembrong di Felda Kahang Timur semalam.

Hishammuddin berkata secara peribadi beliau melihat proses transformasi Umno melalui pindaan perlembagaan adalah sesuatu yang boleh dibanggakan.

"Langkah menghapuskan kuota dan menambahkan perwakilan daripada 2,600 kepada 150,00 untuk tentukan pucuk pimpinan bukan sahaja menjadikan parti Umno inklusif tetapi menunjukkan kita berani berdepan dan mendengar suara akar umbi," katanya.

Sementara itu, Hishammuddin berkata Umno Bahagian Sembrong membuat pendirian supaya jawatan presiden dan timbalan presiden parti yang disandang Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak dipertandingkan.

Setakat ini, katanya, sebanyak tujuh daripada 64 cawangan Umno di Sembrong telah melaksanakan mesyuarat cawangan yang ditetapkan dari 15 Julai hingga 31 Ogos.

No comments:

Post a Comment