Saturday, August 3, 2013

UDA Holdings Bina 112 Unit Kedai Desa Di Enam Negeri, Termasuk Terengganu

UDA Holdings Bhd membina 59 lot kedai melibatkan 112 unit kedai desa di enam negeri dengan jumlah kontrak pembinaan mencecah hampir RM15 juta sehingga Julai, 2013.

Naib Presiden Satu merangkap Ketua Pegawai Operasi UDA Land Sdn Bhd Mohd Hassan Mohd Salleh berkata projek pembangunan kedai desa itu dimulakan pembinaannya sejak Ogos, 2011, yang merangkumi negeri Melaka, Johor dan Kelantan (satu daerah), Pahang (dua daerah) dan Terengganu dan juga Perak (tiga daerah).

"Pembinaan kedai desa ini bertujuan meningkatkan pendapatan masyarakat desa, terutamanya golongan bumiputera melalui penyediaan ruang niaga di kawasan pekan dan bandar-bandar kecil," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut kenyataan itu, UDA Holdings telah mengadakan dua majlis penyerahan lima unit Kedai Desa dua tingkat di Kemasik, Daerah Kemaman, Terengganu dan di Mentakab, Temerloh, Pahang pada awal Julai lepas.

Mohd Hassan menyempurnakan majlis itu dengan menyerahkan kedai tersebut kepada kedua-dua Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran masing-masing.

Sebelum ini, UDA juga telah menyerahkan kedai desa seumpama kepada Majlis Perbandaran Dungun, Majlis Perbandaran Jasin, Majlis Daerah Pekan, Majlis Perbandaran Taiping dan Majlis Perbandaran Muar pada Julai 2012.

UDA dijangka menyerahkan kedai desa yang telah disiapkan kepada Majlis Daerah Jeli, Majlis Perbandaran Teluk Intan dan Majlis Daerah Perak Tengah selepas Hari Raya Aidilfitri, kata kenyataan itu.

Mohd Hassan berharap pembangunan kedai-kedai desa tersebut dapat membantu meningkatkan jumlah usahawan desa dan membuka lebih banyak peluang perniagaan melalui penyedian ruang niaga di lokasi perniagaan yang teratur dan mampu disewa usahawan desa di lokasi strategik.

No comments:

Post a Comment