Sepuluh individu yang mendakwa mereka pewaris Yang di-Pertuan Agong, ditahan ketika berhimpun di Pintu 1, Istana Negara di Kuala Lumpur kira-kira 4 petang semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintenden Aida Abdul Hamid berkata, mereka yang terdiri daripada lapan lelaki dan dua wanita itu berpakaian serba hitam dan menaiki tiga buah kereta.
"Kumpulan ini mendakwa mereka dari Kumpulan Panji Hitam dari Timur Empayar Langkasuka Nusantara dan datang ke istana kerana mendakwa mereka adalah pewaris Agong yang sah.
"Tangkapan termasuk rampasan kesemua kereta dibuat oleh ketua balai polis Jalan Travers dan dibawa ke balai Travers,” katanya kepada pemberita, semalam.
Menurut Aida, tidak ada senjata ditemui ketika pemeriksaan polis terhadap kereta yang dirampas, kecuali 13 bendera bertulisan jawi dan beberapa helaian watikah baiah.
Katanya, semakan awal mendapati tujuh daripada mereka berasal dari Melaka, Perak dan Kedah.
Aida berkata siasatan juga mendapati antara ajaran kumpulan itu ialah mendakwa dua kalimah syahadah sedia ada tidak sah dan anggota baharu diwajib berbaiah serta mengucap kalimah syahadah yang baharu di hadapan ketua yang bergelar ’Tuanku’.
No comments:
Post a Comment