Tuesday, August 6, 2013

Pengikut Syiah Kini Cecah 250,000 - KDN

Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengesan terdapat 250,000 pengikut Syiah di negara ini dengan sepuluh kumpulan dikenal pasti bergerak aktif.

Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi berkata, jika 10 tahun dahulu mereka cuma terdiri komuniti kecil dan mempunyai tiga buah markas sahaja, tetapi kini markas mereka hampir di seluruh negeri.

"Perkembangan teknolgi maklumat antara faktor memudahkan pergerakan kumpulan berkenaan menyebarkan fahaman apatah lagi orang ramai mudah untuk akses kepada pelbagai bentuk laman sosial dan media sosial,” katanya semalam.

Syiah diwartakan haram oleh Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia pada 5 Mei 1996.

Penularan fahaman Syiah kian membimbangkan kerana ia boleh membawa kepada perpecahan di kalangan umat Islam. Abdul Rahim berkata usaha untuk memerangi dan membanteras pergerakan Syiah secara total perlu dilaksanakan secara bersepadu dan tidak boleh dipertanggungjawabkan kepada satu agensi sahaja.

"Di pihak KDN misalnya, dari segi keselamatan menerusi Polis Diraja Malaysia, Pendaftar Pertubuhan (ROS), kawalan bahan penerbitan menerusi Akta Percetakan dan Penerbitan, pengeluaran cakera padat (CD) dan Cakera Padat Digital (DVD) menerusi Lembaga Penapisan Filem sementara kemasukan pihak luar menerusi Jabatan Imigresen,” katanya.

Daripada aspek akidah pula, Abdul Rahim berkata ia di bawah bidang kuasa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), media sosial (Kementerian Komunikasi dan Multimedia), hubungan luar (Kementerian Luar) dan institusi pengajian tinggi (Kementerian Pendidikan).

Berhubung tangkapan, beliau berkata, dua tangkapan pernah dibuat sebelum ini iaitu pada 1996 di bawah Akta Keselamatan Negeri (ISA) dan pada 2012 oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

"Dalam tangkapan oleh JAIS itu seramai 200 pengikut ditahan, namun dibebaskan apabila terdapat masalah teknikal dari segi perundangan ketika pendakwaan dijalankan,” katanya.

Mengenai tindakan mengharamkan buku dan bahan penerbitan pula, katanya setakat ini sepuluh judul buku telah diharamkan antaranya Pengantar Ilmu-Ilmu Islam, Dialog Sunnah Syiah dan Tafsir Sufi Al Fatihah Mukadimah yang didapati mengandungi bahan-bahan bercanggah dengan ajaran dan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

No comments:

Post a Comment