Seramai 7,000 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan bertugas sepanjang musim perayaan Aidilfitri bagi mengawasi insiden melibatkan kebakaran dan kemalangan di seluruh negara.
Ketua Pengarahnya, Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim berkata selain 267 balai di seluruh negara, JBPM juga menempatkan 16 jentera di beberapa plaza tol sepanjang Lebuhraya Utara Selatan bagi mempercepat dan memudahkan kerja menyelamat jika berlaku kemalangan.
"Cuma 30 peratus anggota dibenar bercuti manakala 70 peratus akan bertugas semasa perayaan Aidilfitri ini bagi memastikan keselamatan dari segi kebakaran dan kerja-kerja menyelamat tidak terjejas.
"Kita akan tempatkan 16 jentera di kawasan tol, satu jentera ada lapan anggota akan bersedia di sana... motosikalpun ada juga. Pengalaman kita yang lepas ini banyak membantu," katanya kepada pemberita selepas Majlis Jalinan Mesra Ketua Pengarah Bersama Anggota dan Kakitangan JBPM Negeri Pulau Pinang semalam.
Turut hadir Pengarah JBPM Pulau Pinang Azmi Tamat.
Wan Mohd Nor berkata penempatan di plaza tol membolehkan anggota bertugas memantau serta memberi laporan kepada pusat kawalan berhubung keadaan lalu lintas.
"Selain itu, kita juga ada buat rondaan... tidak statik. Kita lihat kawasan tertentu. Mana-mana kawasan yang agak kritikal, kita akan adakan rondaan," katanya.
Terdahulu, beliau menyerahkan sumbangan RM16,000 kepada Noraniza Murad, balu anggota bomba Mohd Fauzi Zainal yang maut dalam kemalangan pada Jun lepas.
No comments:
Post a Comment