Saturday, August 3, 2013

Jatuhkan Presiden PAS – Desak Jawatankuasa Disiplin Siasat Menantu Hadi


"Ini adalah suatu tuduhan yang berat secara terbuka yang boleh menyebabkan pelbagai spekulasi buruk terhadap mana-mana pimpinan PAS mahupun ahli-ahli biasa PAS dan secara tidak langsung memberikan imej negatif terhadap PAS sendiri,"
 - Anggota PAS Seumur Hidup, Zulhazmi Shariff 

Kontroversi dalam PAS yang diakibatkan oleh kenyataan anggota Majlis Syura Zaharuddin Muhammad, yang juga menantu Presiden, kerana menuduh terdapat sabotaj dalaman secara terbuka kini semakin hangat.
Seorang anggota seumur hidup PAS membuat aduan kepada Jawatankuasa Disiplin berhubung kenyataan Zaharuddin itu semalam yang menggesa jawatankuasa displin menyiasat kesahihan dakwaan Zaharuddin yang dikatakan berlaku semasa pilihan raya umum lalu.

Kelmarin, menantu kepada Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendakwa wujudnya usaha dalam parti itu untuk menjatuhkan bapa mertuanya sebagai pemimpin nombor satu parti Islam itu.

Zaharudin berkata terdapat saksi bagi mengesahkan dakwaan yang didakwa bermula sebelum pilihan raya umum (PRU) 2008 itu.

"Semua bukti dalam bentuk saksi ada dalam tangan saya jika diperlukan," katanya sambil turut menepis dakwaan beliau mempengaruhi Hadi, antaranya ketika proses mengeluarkan watikah calon secara kontroversi di Kota Damansara dalam PRU lalu.

"Ini bermaksud, bukan saya punca sebenarnya (di Kota Damansara) dan bukan juga TG presiden, tetapi isu sebenar ialah usaha mengambil alih jawatan presiden. Itu blind spotnya (titik butanya)."

Pada 27 Julai lalu, memetik sumber PAS Selangor, sebuah portal berita melaporkan Zaharudin (kiri) mempengaruhi Hadi menandatangani watikah kepada Rizuan Ismail untuk bertanding di Kota Damansara. 

Berikutan itu berlaku pertandingan tiga penjuru dengan PSM (yang menggunakan lambang PKR) dan BN. Menulis di Facebook-nya semalam, Zaharudin bagaimanapun tidak menyebut secara khusus pihak yang didakwa mahu menjatuhkan Hadi, sebaliknya hanya merujuknya sebagai "kumpulan kecil".

Zaharudin tidak menjelaskan bentuk usaha menjatuhkan Hadi yang juga anggota Parlimen Marang. Katanya, beliau "terpaksa menjadi team back-up mempertahankan parti itu dan bukan mempertahankan bapa mertua atau sebaliknya."

Dalam surat yang dihantar hari ini yang salinannya diberikan kepada Malaysiakini, Zulhazmi Shariff anggota seumur hidup PAS membuat aduan kepada Jawatankuasa Disiplin dan sekiranya ternyata tidak benar, penuduh patut dikenakan tindakan.

Ini kerana penuduh mencemarkan imej parti di mata masyarakat, kata Zulhazmi. Pengamal undang-undang itu mencadangkan Zaharuddin disiasat bawah fasal 82(1)(g) perlembagaan PAS, berkaitan tindakan yang menyalahi dan merugikan kepentingan parti.

"Berdasarkan tulisan tersebut sangat jelas, terang dan nyata bahawa Saudara Zaharudin Muhammad menyebut dan membuat tuduhan terbuka bahawa ada unsur-unsur sabotaj dalaman semasa pilihan raya umum ke-13.

Malah usaha sabotaj tersebut bertujuan menjatuhkan presiden dan timbalan mursyidul am (Datuk Haron Din).

"Ini adalah suatu tuduhan yang berat secara terbuka yang boleh menyebabkan pelbagai spekulasi buruk terhadap mana-mana pimpinan PAS mahupun ahli-ahli biasa PAS dan secara tidak langsung memberikan imej negatif terhadap PAS sendiri," surat itu dipetik.

Semalam Malaysiakini berusha menghubungi Zaharuddin (atas) bagaimanapun belum terdapat reaksi diberikan setakat ini.

Sumber Malaysiakini

No comments:

Post a Comment