Thursday, August 22, 2013

Adik Bersama Dua Rakan Samun Abang Di Kemaman

Tidak sampai sejam menyamun wang tunai dan kad prabayar dengan nilai keseluruhan lebih RM90,000, tiga lelaki diberkas polis dalam kejadian di Kemaman, petang kelmarin.

Namun soal siasat polis terhadap suspek pula mendedahkan seorang daripada mereka adalah adik kepada mangsa, menyebabkan polis kini memburu seorang lelaki berusia 26 tahun yang berasal dari Kedah dan bekerja di sebuah syarikat telekomunikasi di Kemaman.

Mengulas kejadian itu kepada pemberita di Kuala Terengganu, kelmarin, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu ACP K Manoharan berkata polis menerima laporan daripada dua lelaki berusia 26 dan 33 tahun, menyatakan mereka disamun di Kampung Batu Putih, Kemaman, pada 4.30 petang.

Mangsa mendakwa mereka dalam perjalanan pulang ke tempat kerja selepas menghantar bekalan kad prabayar di Kampung Felda Kerteh apabila kenderaan mereka dihalang sebuah kereta jenis Honda Accord, dinaiki tiga lelaki dengan seorang bersenjatakan pedang.

"Seorang suspek terus merampas beg sandang yang mengandungi wang tunai RM37,000 dan kad prabayar bernilai kira-kira RM 52,710 sementara itu seorang lagi menghunus pedang ke arah mangsa," katanya. 

Menurutnya mangsa cuba mempertahankan beg sandang terbabit sehingga berlaku pergelutan namun suspek berjaya melarikan diri dan mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Chukai pada pukul 4.45 petang. 

Kira-kira setengah jam kemudian, polis mengesan kereta yang dinaiki suspek di persimpangan lampu isyarat Kampung Besut dan berjaya memberkas tiga lelaki terbabit yang berusia antara 20 dan 26 tahun. 

Pemeriksaan polis ke atas kereta suspek menemukan pedang, parang, pisau serta tukul dan kereta itu pula didapati dilapor hilang di Muar Johor, kata Manoharan.

"Dua suspek yang berusia 20 dan 25 tahun ini berasal dari Kedah manakala seorang lagi yang berusia 26 tahun berasal dari Melaka dan mereka telah tiba di Kemaman sehari sebelum melakukan kegiatan tersebut. 

"Mereka ini dipercayai mengekori kereta mangsa sebaik mangsa meninggalkan pekarangan sebuah bank di bandar Kemaman," katanya.

Menurutnya seorang daripada suspek juga mempunyai rekod jenayah kerana menyimpan barang curi. 

Memandangkan mangsa gagal memberitahu polis dia disamun adik kandung yang mengaku tidak menutup muka ketika melakukan samun itu, polis kini tidak menolak kemungkinan mangsa sendiri yang menyalurkan maklumat kepada suspek, katanya.

Katanya semua suspek direman tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan polis juga melancarkan gerakan mengesan 'mangsa' bagi membantu siasatan.

No comments:

Post a Comment