Friday, August 16, 2013

Ahmad Said Tidak Tanding MT, Sokong Idris, Ahmad Shabery

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said mengumumkan tidak akan bertanding jawatan ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO pada pemilihan parti Oktober ini.

Beliau berkata, sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri keputusannya adalah wajar untuk memberi ruang kepada calon lain yang berkelayakan.

Saya akan memberi sokongan dan mengalu-alukan hasrat Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek bertanding bagi mengekalkan kerusi MT.

“Sebagai Menteri Besar, saya menjadi anggota MT secara automatik dan berpeluang hadir pada mesyuarat MT,” katanya pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus, Datuk Mohd Nasir Ibrahim Fikri, di Kampung Durian Burung, semalam.

Ahmad berkata, keputusan untuk tidak bertanding sebagai MT dibuat bukan kerana bimbang tidak dipilih, sebaliknya ia adalah pilihan terbaik tanpa memikirkan kedudukan.

Katanya, beliau masih boleh berkongsi idea dan memberi pandangan dalam mesyuarat MT UMNO meskipun memberi tumpuan kepada pentadbiran negeri.

“Sepanjang mesyuarat MT sebelum ini pun, pandangan daripada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri tidak pernah diketepikan Presiden parti, Datuk Seri Najib Razak.

“Cukuplah hanya Idris dan Ahmad Shabery mewakili negeri ini untuk bertanding bagi mengekalkan kerusi MT, saya tidak berhasrat untuk bertanding dan saya juga tidak pernah menawarkan diri bertanding walaupun ada desakan daripada beberapa rakan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Nasir mengesahkan akan bertanding untuk mempertahankan kerusi Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus, walaupun akan dicabar tiga hingga lima pemimpin pada peringkat bahagian.

No comments:

Post a Comment