Friday, August 16, 2013

Fallanie Pertahan Diri Mengenai Isu Doping, Akui Ambil Ubat Batuk, Demam


Pelumba basikal lebuh raya negara, Ahmad Fallanie Ali akhirnya tampil mempertahankan dirinya mengenai isu doping ketika beraksi pada Jelajah 1 Malaysia (J1M) 2013 Jun lalu.

Meskipun ujian doping ke atasnya didapati positif, Fallanie, 30,  tetap dengan pendiriannya bahawa dia hanya mengambil ubat batuk dan bukan bahan larangan iaitu dadah jenis steroid anabolic seperti yang disahkan oleh Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS).

Bagaimanapun, ujian doping yang dijalankan tidak menunjukkan sebarang kandungan kodein atau dextromethorphan iaitu bahan yang terkandung dalam ubat batuk berkenaan.

Pelumba kelahiran Terengganu itu turut mempertahankan keputusannya yang enggan membuka sampel B air kencing atas alasan dia mempunyai hak berbuat demikian.

"Saya akui apa yang berlaku ini adalah disebabkan kesilapan saya kerana tidak meminta nasihat daripada Institut Sukan Negara (ISN) atau pengurus dan jurulatih pasukan.

"Pada waktu itu, saya mengalami demam selama seminggu, jadi saya memutuskan untuk mengambil ubat batuk, selesema dan demam.

"Saya tidak percaya dan sangat terkejut apabila dimaklumkan oleh Setiausaha Persatuan Basikal Kuala Lumpur (PBKL) Firdaus Arshad bahawa ujian doping saya disahkan positif," jelas Fallanie kepada Kosmo! semalam.

Menurut Fallanie, surat rayuan supaya hukuman diringankan selain penjelasan sebenar mengenai perkara itu telah dihantar kepada Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) pada 9 Ogos lalu selepas dia diberi tempoh sehingga Selasa depan (20 Ogos) untuk menjawab pertuduhan.

"Memang saya bersalah, saya terima keputusan ini tetapi pada masa sama, saya berharap hukuman yang dikenakan terhadap saya dapat diringankan kerana saya tidak tahu pengambilan ubat batuk, selesema dan demam mampu mengheret saya dengan masalah ini.

"Sekali lagi saya ingin jelaskan bahawa apa yang saya lakukan memang tidak disengajakan. Saya pergi ke farmasi seperti biasa untuk mendapatkan semua ubat tersebut," katanya. Fallanie yang terkenal sebagai pelumba domestik, tidak menolak kemungkinan bahawa pengambilan ubat batuk secara berterusan menjadi antara faktor bahan tersebut wujud dalam air kencingnya.

Fallanie berkata, apa yang berlaku ke atas dirinya ketika ini bukan penamat kepada kariernya dan dia akan tetap meneruskan latihan seperti biasa. Fallanie yang dipinjamkan oleh PBKL kepada Terengganu pada J1M 2013 kini bakal berdepan penggantungan dua tahun oleh Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

Dia merupakan pelumba lebuh raya ketiga menerima hukuman berkenaan selepas Razif Salleh pada 2006 dan Muhammad Fauzan Ahmad Lutfi (2009).

Sementara itu, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) merasa kecewa apabila seorang pelumba basikal negara dilaporkan terbabit dengan penggunaan bahan terlarang semasa menyertai perlumbaan Jelajah Malaysia 2013 pada 26 Mei hingga 2 Jun lepas.

"Kes penggunaan bahan terlarang yang membabitkan pelumba Malaysia ini amat dikesali. Semua atlet wajar memberi perhatian sepenuhnya mengenai aspek larangan terhadap pengambilan dadah terlarang untuk tujuan sukan," kata Timbalan Presiden PKBM Datuk Naim Mohamad semalam.

Menurut laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris kelmarin, Naib Presiden dan Pengerusi Jawatankuasa Anti-Doping PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill mengesahkan bahawa pelumba kelahiran Terengganu, Ahmad Fallanie Ali positif menggunakan bahan terlarang.

Menurut laporan yang diterima Amarjit daripada pihak Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) mendapati sampel 'A' air kencing pelumba berkenaan mencatatkan bacaan tidak normal untuk methandienone metabolit, yang merupakan steroid anabolik

 "Jawatankuasa Anti-Doping dan Jawatankuasa Disiplin PKBM akan bermesyuarat dalam masa terdekat untuk memanggil beliau (Ahmad Fallanie) bagi mendapatkan penjelasannya selain memaklumkan secara rasmi hukuman yang dikenakan ke atasnya," kata Naim.

"Ia sesuatu yang mendukacitakan kerana masih ada atlet yang memandang remeh isu penggunaan ubat atau bahan terlarang ketika menyertai mana-mana kejohanan," tambahnya.

Naim, yang juga Ketua Pegawai Operasi perlumbaan Jelajah Malaysia 2013, juga kecewa kerana insiden itu yang pertama kali berlaku dalam sejarah penganjuran perlumbaan itu dan mencalar kelancaran penganjurannya.

"Kita selalu dengar isu doping ini berlaku dalam kalangan pelumba-pelumba basikal di Eropah dan Amerika Syarikat sahaja. Oleh sebab itu, kita mahu Malaysia menjadi bersih daripada isu doping.

"Untuk perlumbaan Jelajah Malaysia, walaupun tidak disyaratkan untuk mengadakan ujian doping, sebagai penganjur kita buat juga ujian doping secara rawak dengan kerjasama Institut Sukan Negara (ISN). Namun masih ada pelumba kita yang masih tidak peka dengan kesalahan menggunakan bahan terlarang semasa pertandingan," katanya.

Bagaimanapun, Naim berkata PKBM tidak akan memandang remeh isu tersebut dan pesalah akan diambil tindakan yang sewajarnya dan mungkin akan menerima hukuman yang berat. Naim berkata jika didapati bersalah, Ahmad Fallanie akan digantung penyertaan dalam mana-mana perlumbaan berbasikal yang diiktiraf UCI dan PKBM, di dalam dan luar negara.

Untuk rekod, sebelum ini dua pelumba negara iaitu Razif Salleh dan Fauzan Ahmad Lutfi telah digantung penyertaan selama dua tahun akibat penggunaan bahan terlarang masing-masing pada 2007 dan 2009.

No comments:

Post a Comment