Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh mengesahkan tidak akan mempertahankan jawatan pada Kongres PBSNT pada 14 September nanti sekali gus memberi laluan kepada muka baharu.
Pengesahannya telah memunculkan beberapa nama yang menjadi sebutan termasuk Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, Rozi Mamat serta Setiausaha Politik Menteri Besar, Datuk Ahmad Nizam Abdul Hamid untuk memberi nafas baharu.
Che Mat mengakui sudah tiba masa baginya untuk berundur dan melepaskan teraju persatuan tanpa rasa kesal dan meninggalkan dunia bola sepak yang sangat dicintai bagi mengotakan janjinya.
Katanya, beliau juga telah berjanji dengan diri dan juga keluarganya untuk berundur daripada dunia bola sepak sebaik selesai Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) tempoh hari di mana beliau sendiri merupakan calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk.
"Sebelum ini pun saya telah berjumpa dengan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dan menyatakan hasrat saya untuk mengundur diri dan ketika itu, beliau cuba menahan saya agar tidak berbuat demikian.
Saya rasa sudah sampai masa untuk saya berundur dan beri peluang dan laluan kepada muka baharu untuk memimpin PBSNT seterusnya membentuk pasukan baharu dengan masa depan lebih gemilang.
"Jadi, pada Kongres PBSNT pada 14 September ini, saya akan akan berundur dan tinggalkan dunia bola sepak dan saya akan panggil semua pemimpin persatuan bola di daerah-daerah selain semua ahli jawatankuasa dan saya akan beritahu hasrat saya itu," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Che Mat berkata, sepatutnya beliau akan mengumumkan pengundurannya daripada PBSNT dalam kongres persatuan itu pada Jun atau Ogos tahun depan tetapi mengubahnya menjadi setahun lebih awal.
Menurutnya, keputusannya berundur pada tahun ini dianggap terbaik kerana ia akan membantu pengurusan baharu mempunyai masa lebih panjang dalam membentuk satu pasukan baharu bagi menghadapi musim liga tahun depan.
Beliau yang kini berusia 64 tahun tidak bercadang untuk terus menabur khidmat dalam sukan bola sepak tempatan sebaliknya akan berehat bersama keluarga.
Che Mat telah menghabiskan banyak masa dengan bola sepak dan PBSNT sejak tahun 1974 dan melalui fasa di bawah kepimpinan empat Menteri Besar, bermula Tan Sri Wan Mokhtar Wan, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Datuk Seri Idris Jusoh dan Datuk Seri Ahmad Said, dalam pengurusan dan menerajui PBSNT.
Beliau seterusnya menolak dakwaan kononnya tindakan mengundur diri kerana tidak tahan dengan desakan pelbagai pihak agar meletakkan jawatan daripada persatuan.
"Saya tak gentar dengan desakan itu, pada saya kalau tak boleh pejamkan mata dan pekakkan telinga, jangan berani nak pegang persatuan bola. Seperti saya kata tadi, saya undur diri kerana sudah tiba masa untuk beri peluang kepada orang lain," ujarnya.
Di sepanjang tempoh bersama PBSNT, Che Mat berpuas hati dengan kerjasama semua anggota jawatankuasa serta pencapaian pasukan Terengganu terutama mengecapi kenangan paling manis apabila buat pertama kali merangkul Piala Malaysia pada tahun 2000 selain menjulang Piala FA di Pulau Pinang sebelum itu.
No comments:
Post a Comment