Friday, August 16, 2013

Cikgu Zubir Sah Bertanding Ketua UMNO Kuala Terengganu

Tawar diri berikutan kekosongan

Yang Dipertua DUN Terengganu, Mohd Zubir Embong mengesahkan menawarkan diri bertanding Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu dalam pemilihan parti itu, Oktober depan.

Mengesahkan laporan yang disiarkan sebuah laman portal politik pro-Umno mengenai tawaran tersebut kelmarin, beliau mengiyakan dengan jawapan ringkas,

“Insya-ALLAH”, melalui SMS kepada Sinar Harian, semalam.

Mengulas lanjut, penyertaannya dalam pemilihan Umno bahagian itu kelak dilihat mampu mewujudkan suasana baru untuk parti dan juga perwakilan.

Jelasnya, keadaan itu memberi ruang lebih baik kepada perwakilan membuat pilihan secara bijak bagi memilih pemimpin yang akan meneruskan kesinambungan kepimpinan di bahagian tersebut.

“Saya menawarkan diri sebagai satu alternatif kepada perwakilan Umno yang bijaksana untuk memilih kepimpinan terpimpin yang bertindak secara kolektif dan efektif serta sentiasa bersiap siaga dalam memberikan khidmat ke akar umbi masyarakat Kuala Terengganu ke arah kesejahteraan dan kebahagiaan serta perpaduan ummah, insya-ALLAH,” katanya.

Selumnya, laman portal politik Terengganu Today melaporkan Mohd Zubir yang lebih dikenali dengan panggilan ‘Cikgu Zubir’ berkata, beliau menawarkan diri selepas dimaklumkan mengenai kekosongan jawatan berkenaan apabila penyandangnya Datuk Wan Farid Salleh mengumumkan hasratnya tidak akan mempertahankan jawatan berkenaan.

Beliau yang juga calon Ahli Parlimen Kuala Terengganu pada PRU13 berhasrat untuk mewujudkan barisan saf kepimpinan yang diterima majoriti perwakilan, selain disegani dan diterima majoriti pengundi Kuala Terengganu sebagai usaha menebus kembali kekalahan kerusi Parlimen serta semua kerusi Dun dalam Parlimen berkenaan.

Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Wan Ahmad Farid dalam Mesyuarat Khas Umno bahagian itu, Julai lalu mengumumkan untuk tidak mempertahankan jawatan tersebut kerana mengambil tanggungjawab terhadap kekalahan semua kerusi BN di Parlimen tersebut.

No comments:

Post a Comment