Saturday, August 3, 2013

Dewan Bedah Hospital Setiu Boleh Guna Akhir Ogos


Dewan bedah Hospital Setiu yang sebelum ini menghadapi pelbagai masalah, kini sudah hampir pulih setelah dibaiki dan akan dapat digunakan akhir bulan ini.

Menyatakan demikian, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya dan Pengangkutan Negeri Ir Rosli Othman berkata kerja-kerja ujian udara dan tahap kelembapan di dalam dewan bedah hospital itu sedang dijalankan manakala di bahagian lain kerja-kerja baik pulih sudahpun selesai.

Bagaimanapun beliau tidak menyebut perbelanjaan kerja-kerja baik pulih hospital berkenaan yang telah digunakan sejak 10 tahun itu.

Rosli berkata, sebelum ini hospital itu dikatakan tidak dapat digunakan kerana mengalami kebocoran, kelengkapan tidak sempurna manakala dewan bedahnya tidak boleh beroperasi.

Menurutnya dengan siapnya dewan bedah hospital itu, pesakit tidak perlu lagi ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu untuk pembedahan yang kecil seperti membuang selaput mata dan sebagainya.

Katanya, kumpulan doktor dari HSNZ juga turut ke Hospital Setiu secara berjadual bagi merawat pesakit yang perlu menjalani pembedahan.

"Dengan siapnya nanti hospital itu, kita harap ia akan mengurangkan tekanan terhadap HSNZ, di mana sebelum ini semua pesakit tertumpu ke hospital itu," katanya.

Dalam perkembangan lain Rosli melahirkan rasa gembira kerana Jambatan Bukit Kuang di Kemaman telah dibuka kepada kenderaan.

Katanya jambatan melibatkan jalan susur sepanjang 3.14 kilometer itu dibuka dua hala bagi laluan sebelah kiri dari Cukai ke Dungun.

"Saya rasa senang sikit kerana jambatan itu sudah boleh digunakan. Tidaklah sesak sangat terutama di musim perayaan ini.

Tambahan pula jambatan itu merupakan laluan utama Kuala Terengganu-Kuantan," katanya.

Jambatan yang berharga kira-kira RM180 juta itu mula dibina pada Julai 2010 dan dijangka siap sepenuhnya pertengahan tahun depan.

"Oleh kerana jalan di situ sesak berikutan pembinaan jambatan berkenaan, kami galakkan pengguna jalan raya dari kedua-dua arah menggunakan jalan lencongan melalui jalan Ibok dan Mini Zoo Bukit Takal, Kemaman," katanya.

No comments:

Post a Comment