Tuesday, August 20, 2013

Dua Loji Air RM1.2 Bilion Dibina Di Terengganu

Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (Satu) merancang membina dua loji air baru yang dijangka menelan belanja RM1.2 bilion bagi mengatasi masalah bekalan air di negeri itu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Husain Embong berkata loji tersebut, masing-masing bernilai RM800 juta dan RM400 juta, akan dibina di Kemaman dan Kuala Terengganu Utara.

"Kita akan bina loji ini pada bila-bila masa, cuma kita tunggu lampu hijau daripada kerajaan negeri, lokasinya (tapak) juga sudah kita kenal pasti," katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan hari raya Satu di Kualaa Terengganu semalam.

Beliau berkata Satu memerlukan kedua-dua loji baru itu memandangkan pertumbuhan penduduk dan pembangunan pesat yang dijangka berlaku di sana pada masa depan.

Dalam perkembangan lain Husain berkata setiap tahun Satu mendapat peruntukan daripada kerajaan negeri antara RM10 dan RM15 juta untuk mengatasi masalah bekalan air di daerah Kuala Terengganu.

Beliau berkata Satu mempunyai rangkaian paip air sepanjang 8,000 kilometer di seluruh Terengganu manakala kos penukaran kepada paip baru bernilai RM300,000 untuk satu kilometer.

"Kebanyakan paip ini sudah berumur lingkungan 20 hingga 25 tahun dan sebahagian besar paip Satu sekarang berada di bawah jalan utama," katanya.

Husain berkata liputan bekalan air bersih di Terengganu telah mencapai 100 peratus dan Satu sentiasa mewujudkan projek baru bagi memastikan penduduk mendapat bekalan air bersih.

Namun begitu beliau berkata terdapat juga penduduk di negeri Terengganu yang tidak menggunakan perkhidmatan air bersih Satu kerana menggunakan air perigi atau air galian.

No comments:

Post a Comment