Tuesday, August 20, 2013

Mohd Zamri Pelumba Terbaik Malaysia Peringkat Kedua Jelajah Borneo


Pelumba pasukan Terengganu Cycling Team (TSG) Mohd Zamri Salleh muncul pelumba terbaik Malaysia bagi peringkat kedua perlumbaan Jelajah Borneo 2013 yang tamat di Papar semalam.

Walaupun tiada jersi khusus disediakan untuk pelumba terbaik Malaysia pada perlumbaan kali ini, Mohd Zamri berjaya menamatkan saingan di tempat keempat, hanya 0.04 saat di belakang pelumba Tabriz Petrochemical Team, Mehdi Sohrabi dari Iran yang muncul pemenang.

"Saya agak kecewa juga kerana saya mempunyai peluang untuk meraih kemenangan podium hari ini (semalam). Saya sudah berada di kedudukan terbaik dalam kelompok hadapan tetapi usaha saya telah dihalang oleh seorang pelumba Iran kira-kira 2 kilometer menuju penamat," katanya.

Beliau berkata saingan perlumbaan semalam  agak sengit khususnya dalam kalangan pakar pecut kerana laluan yang landai.

"Kerjasama sepasukan amat baik, namun saingan hari ini (semalam) juga mencabar dengan tiupan angin yang agak kencang, yang sedikit mengganggu corak kayuhan," katanya.

Untuk peringkat berikutnya, Mohd Zamri berkata TSG akan mencuba sekali lagi meraih sekurang-kurangnya satu kemenangan podium.

Pada perlumbaan peringkat kedua dari Tanjung Aru ke Papar sejauh 189.5 kilometer, turut menamatkan saingan dalam kelompok 10 pelumba terbaik ialah adik Mohd Zamri iaitu Mohd Hariff, Anuar Manan (Synergy Baku Cycling Team), Mohd Nor Rizuan Zainal (Angkatan Tentera Malaysia) dan Ahmad Haidar Anuawar (OCBC Singapore Continental Cycling Team).

Anuar, yang menamatkan saingan peringkat kedua di tempat kelima, berjaya merampas jersi hijau selaku Raja Pecut daripada pelumba Australia, Paul Van Der Ploeg.

Untuk saingan semalam, beliau berjaya memenangi ketiga-tiga zon pecutan yang terletak di Papar, Membakut dan Kuala Penyu dengan mengumpul 26 mata.

"Ia satu peningkatan prestasi saya selepas pulih daripada kecederaan. Walaupun masih berasa sakit, saya berpuas hati dengan pencapaian ini.

Walaupun perlumbaan hari ini adalah latihan pemulihan untuk saya, tetapi saya telah memerah tenaga untuk memenangi ketiga-tiga zon pecutan.

"Menamatkan saingan peringkat kedua di tempat kelima juga adalah sesuatu yang baik, walaupun agak kepenatan selepas membuat pemecahan, kerana ia adalah satu usaha yang berbaloi," katanya.

No comments:

Post a Comment