Ekonomi Malaysia berkembang 4.3 peratus pada suku kedua tahun ini berbanding 4.1 peratus pada suku pertama, dengan permintaan domestik yang kukuh terus menyokong pertumbuhan di celah-celah permintaan luar yang lemah.
Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, berkata sementara permintaan domestik terus kukuh, prestasi pertumbuhan keseluruhan dijejaskan oleh permintaan luar yang lemah.
"Permintaan domestik terus kukuh, naik 7.3 peratus sementara eksport mencatatkan kemerosotan yang lebih tinggi dengan kelembapan bagi kebanyakan produk eksport," katanya.
Zeti berkata demikian kepada sidang media mengumumkan angka keluaran dalam negara kasar (KDNK) suku kedua semalam.
Berikutan kelemahan berterusan pada ekonomi luar, bank pusat itu telah menyemak ke bawah pertumbuhan KDNK untuk tahun ini kepada 4.5-lima peratus daripada lima-enam peratus sebelum ini, katanya.
"Bagi setengah pertama tahun ini, purata pertumbuhan adalah 4.2 peratus. Oleh itu, walaupun kita akan lebih meningkat (pada setengah kedua tahun ini), kita mungkin melihat pertumbuhan agak sederhana daripada jangkaan awal," katanya.
Beliau berkata sungguhpun permintaan domestik boleh berkembang 7.3 peratus, pengurangan eksport telah menjejaskan prestasi keseluruhan pertumbuhan negara dengan ketara.
"Kita melihat lima hingga enam bulan pertumbuhan negatif dalam eksport dan pertumbuhan kukuh pada import. Oleh itu, eksport bersih, yang menyumbang kepada prestasi keseluruhan ekonomi, susut kira-kira 36 peratus.
"Kita jangka permintaan domestik pada setengah tahun kedua ini akan dikekalkan dan kami menjangka sedikit peningkatan pada eksport," katanya.
Sementara itu, pada asas suku ke suku, ekonomi mencatatkan pertumbuhan 1.4 peratus pada suku kedua berbanding -0.4 peratus pada suku pertama.
Gabenor bank pusat itu berkata pada suku itu, penggunaan persendirian tumbuh 7.2 peratus, di sokong peluang pekerjaan yang stabil dan pertumbuhan gaji yang berterusan dalam sektor domestik.
Beliau berkata, pertumbuhan penggunaan umum naik 11.1 peratus, menunjukkan perbelanjaan kerajaan yang lebih tinggi untuk bekalan dan perkhidmatan dan perbelanjaan emolumen.
Mengenai inflasi, beliau berkata, pada Julai ia adalah dua peratus, yang berada dalam jangkaan iaitu antara dua dan tiga peratus.
Pada suku kedua, inflasi adalah pada 1.8 peratus, kebanyakannya akibat peningkatan harga pada makanan dan minuman bukan beralkohol dan perumahan,air, elektrik, gas dan bahan api lain-lain kategori.
Pada sektor luaran, lebihan akaun semasa berjumlah RM2.6 bilion pada suku yang dinilai, bernilai 1.1 peratus daripada pendapatan kebangsaan kasar, berikutan lebihan barangan yang lebih rendah serta defisit perkhidmatan yang berterusan dan pengaliran keluar dalam akaun pendapatan, kata Zeti.
Akaun kewangan mencatatkan aliran masuk bersih RM5.2 bilion, menggambarkan aliran masuk perbankan di celah-celah pelaburan terus berterusan oleh syarikat multinasional asing.
Beliau berkata pada suku itu, penduduk Malaysia terus membina pelaburan terus dan aset portfolio di luar negara.
Baki keseluruhan pembayaran mencatatkan lebihan RM1.5 bilion.
No comments:
Post a Comment