Friday, August 23, 2013
Empangan Roboh Di Pengkalan Nangka Dibaiki
Jurutera JPS Daerah, Hanizan Deraman berkata, benteng sementara yang baru siap dibina kontraktor telah roboh di bahagian hujung sebelah tebing Kampung Pinang akibat air besar berikutan hujan lebat selama beberapa hari.
Menurutnya, empangan tersebut bertujuan meninggikan paras air untuk dipam dan disalur masuk ke kawasan sawah padi di Pangkalan Nangka, Kampung Pinang dan Baruh Raja.
“Empangan sementara itu juga berfungsi untuk menyekat air masin dari muara Kuala Besut mengalir ke bahagian lebih jauh di hulu sungai.
“Oleh kerana bahagian batu yang ditambak pecah dan dihanyutkan air menyebabkan kerja-kerja membaiki empangan sementara bernilai RM1.97 juta itu akan dipercepatkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di tapak empangan tersebut, di sini. Turut hadir bekas jurutera, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Besut yang kini Adun Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman.
Sementara itu, Tengku Zaihan berkata, beliau akan melihat perkara ini secara terperinci termasuk berbincang dengan JPS bagi menyelesaikan masalah ini segera agar petani dapat mengusahakan tanaman padi pada musim akan datang.
Menurutnya, perkara ini juga akan dipanjangkan kepada kerajaan negeri untuk tindakan sewajarnya agar ia dapat diselesaikan demi kepentingan rakyat.
“Saya juga akan berbincang dengan Jurutera JPS Daerah dan yakin pihak JPS mempunyai kepakaran untuk membina benteng yang lebih kuat,” katanya.
Beliau berkata, empangan rendah tersebut akan digunakan sementara menunggu empangan sebenar bernilai RM35 juta bagi menggantikan empangan asal yang hampir tumbang siap.
No comments:
Post a Comment