Friday, August 23, 2013

Pengenalan Varieti Padi Aerob Dijangka Dapat Tingkatkan Pengeluaran Padi

Pengenalan padi aerob (MRIA 1) iaitu varieti baharu padi yang kurang menggunakan air dalam proses penanamannya serta boleh ditanam di kawasan tanah bukit dijangka dapat membantu meningkatkan peratusan pengeluaran padi negara pada masa hadapan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata varieti baharu hasil penyelidikan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) juga selaras dengan hasrat kementerian agar kawasan tanah terbiar seluas 100,000 hektar diusahakan sebagai kawasan pertanian. 

"Teknologi yang digunakan untuk pengeluaran padi aerob ini tidak memerlukan jumlah air yang banyak berbanding padi biasa, jika ia dapat dilaksanakan di kawasan luar jelapang secara tidak langsung dapat membantu meningkatkan pengeluaran padi negara.

"Selain itu keistimewaan teknologi pengeluaran padi aerob ini ialah kos yang rendah berbanding padi biasa, untuk satu hektar hanya memerlukan RM2,600 berbanding padi biasa RM5,000," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis pelancaran taknologi pengeluaran padi aerob dan perasmian hari bersama pelanggan Mardi di Stesen Mardi, Paya Keladi, di Kepla Batas semalam.

Ismail Sabri berkata untuk permulaan tiga negeri iaitu Pahang, Perak dan Terengganu telah dipilih untuk menjadi perintis pengeluaran padi earob melibatkan keluasan sebanyak 40 hektar tanah.

"Dijangka tahun depan seluas 1,000 hektar tanah akan dibangunkan untuk pengeluaran padi aerob ini yang merupakan baka baharu yang tahan dengan pelbagai serangan penyakit seperti karah daun, karah tangkai, hawar seludang dan benah perang," katanya.

Selain itu katanya tempoh penanaman benih padi aerob juga singkat iaitu 90 hari berbanding padi biasa dan boleh ditanam tiga kali setahun dengan anggaran pengeluaran antara 3.5 tan hingga empat tan untuk setiap hektar.

"Padi jenis ini juga boleh ditanam di mana-mana kawasan termasuk kawasan bukit asalkan boleh dilengkapi dengan kemudahan air secara 'sprinkler'," katanya.

Sementara itu ditanya mengenai tanah terbiar, Ismail berkata pihaknya menerusi kerajaan negeri seluruh negara sedang bekerjasama dengan semua Pejabat Tanah untuk mendapatkan maklumat terkini pemilik tanah-tanah terbiar untuk dimajukan sebagai kawasan tanah pertanian bagi membantu meningkatkan ekonomi negara.

"Semua tanah terbiar mempunyai pemilik, sekarang kita sedang berusaha mendapatkan maklumat pemilik, apabila selesai kelak kita akan jalankan penyelidikkan untuk melihat kesesuaian tanah dengan jenis pertanian yang bakal dijalankan," katanya.

No comments:

Post a Comment