Thursday, August 29, 2013

Irfan Letak Jawatan Sebagai Jurulatih Selangor


Irfan Bakti Abu Salim mengesahkan bahawa beliau telah melepaskan jawatannya sebagai jurulatih skuad Gergasi Merah. Difahamkan, punca utama Irfan membuat keputusan mengejut itu ekoran prestasi hambar skuad kendaliannya dalam kempen Piala Malaysia setakat ini.

Kemuncak rasa kecewa Irfan sukar dibendung lagi apabila Gergasi Merah tumbang di tangan pasukan berstatus kelab, Sime Darby apabila tewas 0-3 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam kelmarin.

Sime Darby FC mencipta kejutan selepas menewaskan juara 32 kali, Selangor, menerusi kemenangan 3-0 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Azlan meraikan jaringan bersama ketua pasukan Perak, Shahrulnizam Mustapa pada aksi Kumpulan D ketika menewaskan Lions XII di Stadium Perak, malam kelmarin.


Tiga gol skuad bimbingan Ismail Zakaria itu dijaringkan Karlo Primorac pada minit ke-22 dan 29, serta Fazrul Hazli Mohd Kadri pada minit ke-72.

Sementara itu, pasukan berstatus kelab, Selangor PKNS FC semakin menghampiri slot ke suku akhir Piala Malaysia selepas mencatat kemenangan 2-0 ke atas Felda United FC dalam saingan Kumpulan B di Stadium Shah Alam, malam kelmarin.

Kemenangan ketiga berturut-turut pasukan bimbingan Abdul Rahman Ibrahim itu membolehkan mereka terus mengekalkan kedudukan di tangga teratas Kumpulan B dengan sembilan mata penuh.

Penyerang import dari Liberia Patrick Ronaldinho Wleh muncul wira pasukan tuan rumah apabila menjaringkan kedua-dua gol pada minit ke-35 dan 51.

Satu lagi wakil dalam Kumpulan A, Johor FA pula hanya mampu mengutip satu mata selepas terikat 3-3 menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang.

Tiga gol pasukan Selatan tanah air itu dijaring oleh Mohd Ezaidy Mohd Khadar pada minit ke-42, Md Farid Ideris (48') dan Muhd Hairul Nizam Haniff (80') manakala ATM memperoleh gol menerusi jaringan Muhd Shukor Adan pada minit ke-53 dan Marlon Alex James pada minit ke-73 dan 78.

Dalam saingan Kumpulan D, Perak menundukkan pasukan jemputan dari Singapura, Lions XII yang merupakan juara Liga Super hasil gol tunggal Azlan Ismail pada minit kelapan perlawanan dalam aksi di Stadium Perak, Ipoh.

Kedah dan Sarawak pula hanya mampu mengutip satu mata selepas mencatat keputusan seri tanpa jaringan pada satu lagi aksi Kumpulan D di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Sementara itu, juara bertahan Piala Malaysia Kelantan mempersiakan peluang mengutip tiga mata selepas sekadar terikat 1-1 menentang Negeri Sembilan dalam saingan Kumpulan C di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi.

Mereka bagaimanapun berada di depan menerusi jaringan penyerang import dari Nigeria, Dickson Nwakaeme pada minit ke-39 sebelum Fabio Leandro Barbosa menyelamatkan maruah pasukan tuan rumah menerusi gol penyamaan pada minit ke-59.

Satu lagi perlawanan Kumpulan C menyaksikan Pahang turut berkongsi mata selepas sekadar terikat 1-1 ketika melayan jiran mereka, Terengganu di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

Skuad Tok Gajah dikejutkan dengan jaringan pembukaan penyerang Terengganu Mohd Ashaari Shamsuddin seawal minit ketujuh sebelum berjaya menyamakan kedudukan enam minit kemudian menerusi gol penyerang import dari Argentina Matias Ruben Conti.


No comments:

Post a Comment