Biarpun dua kali berturut-turut kalah, namun T-Team tetap yakin dengan berbaki tiga perlawanan, ia dapat melangkah ke suku akhir saingan Piala Malaysia.
Penolong Pengendali pasukan, Azlan Johar berkata peluang untuk T-Team masih terbuka bagi merebut peluang ke suku akhir.
"Kita masih mempunyai baki tiga perlawanan dalam Kumpulan B, kita akan pastikan pasukan kita dapat melakar kemenangan dalam perlawanan selepas ini," katanya kepada pemberita.
Malam kelmarin, T-Team memberikan saingan sengit sebelum tunduk kepada Johor Darul Takzim (Johor DT) 2-3.
Tiga gol skuad 'Harimau Selatan' dijaring oleh Mohd Hadin Azman pada minit ke-23, Mohd Safee Sali (27') dan Norshahrul Idlan Talaha (63') manakala dua gol skuad 'The Titans' disumbang Ahmad Syamim Yahya pada minit ke-48 dan pemain gantian, Fauzan Abdullah (77').
Terdahulu, T-Team terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada minit ke-74 selepas Mohd Saiful Mustapa dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan Syed Azahar Syed Kamar kerana mengasari Mohd Hadin.
Mengulas perlawanan itu, Azlan berkata dua gol awal Johor DT telah mengejutkan pemainnya.
"Kita agak leka pada babak pertama sehingga melepaskan dua gol. Namun para pemain telah bangkit dalam babak kedua untuk merapatkan jurang gol," katanya.
Pengendali Johor DT, Azmi Mohamed berpuas hati dengan persembahan anak buahnya.
"Saya berpuas hati dengan komitmen yang ditunjukkan para pemain. Kita dapat meraih tiga mata penting dalam perlawanan malam tadi. Ini merupakan bekalan penting dalam mencari tempat ke suku akhir," katanya.
No comments:
Post a Comment