Wednesday, August 14, 2013

Isu Surau - Polis Johor Terima Enam Laporan

Polis menerima enam laporan daripada pelbagai pihak berhubung tindakan pengurusan sebuah resort di Sedili Besar, Kota Tinggi yang membenarkan surau di resort itu digunakan penganut Buddha menjalankan upacara keagamaan.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata pasukan khas yang diketuai Timbalan Ketua Polis Johor Datuk Ismail Yatim akan menjalankan siasatan segera selepas polis mendapat kebenaran mahkamah hari ini untuk menahan reman pemilik resort itu.

"Polis meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenainya dan penulis blog juga digesa supaya tidak mencetuskan keadaan lebih buruk yang boleh menimbulkan kemarahan masyarakat menerusi penulisan mereka," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor semalam.

Mohd Mokhtar berkata pihaknya juga sudah mengeluarkan arahan kepada Ketua Polis Daerah Kota Tinggi supaya mengadakan pertemuan dengan masyarakat setempat bagi mententeramkan keadaan.

Akhbar sebelum ini melaporkan penduduk sekitar perkampungan nelayan Sedili Besar gempar apabila bangunan yang didirikan di sebuah kawasan resort sebagai surau dicemari upacara sembahyang agama lain. 

Upacara sembahyang oleh penganut Buddha itu disedari seorang pengunjung resort yang ingin menunaikan solat Asar petang Sabtu.

Sehubungan itu, polis semalam menahan pemilik resort berkenaan, seorang lelaki berumur 45 tahun untuk membantu siasatan.

No comments:

Post a Comment