Thursday, August 22, 2013

Jabatan Pertanian Terengganu Labur RM1.2 Juta Untuk Tanaman Kelapa Mantaq

Jabatan Pertanian Terengganu melabur RM1.2 juta untuk tanaman kelapa mantaq dan kelapa mawar dalam usaha untuk mengurangkan masalah kekurangan bekalan kelapa di negeri ini.

Pengarahnya Mohd Yusof Maidin berkata daerah Setiu dipilih sebagai lembah kelapa mantaq kerana iklimnya yang baik dan ia sesuai dengan tanaman tersebut.

"Kita ada kawasan seluas 175 hektar di Setiu untuk dimajukan dengan tanaman kelapa mantaq dalam masa terdekat ini.

"Daripada jumlah tersebut, 30 hektar telah ditanam tiga tahun lalu dan kini telah mengeluarkan hasil sebanyak 534,000 biji," katanya semalam.

Beliau berkata Terengganu dijangka mengeluarkan tiga juta biji kelapa mantaq setahun apabila semua kawasan itu ditanam sepenuhnya nanti.

Mohd Yusof berkata jabatan memberikan tumpuan kepada tanaman kelapa mantaq kerana kelapa jenis itu mampu mengeluarkan santan yang banyak berbanding kelapa lain.

Menurut beliau, keistimewaan kelapa mantaq kerana tanaman itu boleh menghasilkan sehingga 120 biji satu pokok setahun berbanding 70 biji setahun pokok kelapa biasa.

"Lagipun harga kelapa mantaq juga agak menarik dan berbaloi kerana harga di peringkat ladang antara RM1.50 dan RM1.80 sebiji manakala RM3 sebiji di pasaran," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata Pejabat Tanah Setiu telah meluluskan kawasan seluas 200 hektar di Kampung Kubang Puyu kepada Jabatan Pertanian Terengganu untuk tanaman kelapa mantaq.

Mohd Yusof berkata buat permulaan, pihaknya akan membangunkan 20 hektar daripada kawasan itu sementara bakinya akan dibangunkan secara berperingkat-peringkat.

Beliau berkata selain pokok kelapa mantaq, pihaknya juga akan memberikan perhatian kepada tanaman pokok kelapa pandan di Kemaman, Dungun dan Marang.

Untuk itu, katanya Jabatan Pertanian akan menanam kelapa pandan di kawasan seluas 665 hektar di tiga daerah tersebut bagi memenuhi permintaan peniaga kelapa pandan.

"Biasanya kelapa pandan digunakan untuk meminum airnya dan harganya juga agak tinggi iaitu bawah RM3 sebiji di negeri ini," katanya.

No comments:

Post a Comment