Sunday, August 4, 2013

JHEAT agih RM3 Juta Zakat Kepada Fakir Miskin


Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) akan mengagihkan wang zakat berjumlah RM3 juta kepada 6,500 fakir miskin di seluruh negeri, mulai hari ini.

Pesuruhjaya JHEAT Datuk Rozali Salleh berkata, setiap fakir miskin akan menerima wang zakat antara RM300 dan RM1,000 bergantung kepada jumlah tanggungan mereka.

"Kita bagi setiap orang miskin sebanyak RM300 seorang manakala RM50 kepada setiap tanggungan mereka yang menyebabkan ada yang memperoleh lebih RM1,000," katanya.


Beliau berkata demikian ditemui selepas majlis penyampaian bantuan kepada anak yatim dan fakir miskin oleh Yang Dipertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan di Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said, Setiausaha kerajaan negeri Datuk Mazlan Ngah dan Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Zubir Embong.

Rozali berkata, pemberian zakat kepada fakir miskin mengikut kaedah pendafataran yang diterima JHEAT dari seluruh Terengganu

"JHEAT masih membuka pendaftaran fakir miskin untuk mendapatkan bantuan wang zakat. Jika ada mana-mana orang miskin dan memerlukan bantuan bolehlah membuat pendaftaran," katanya.

Pada majlis itu, Tengku Muhammad bersama kekanda dan dua adindanya menyampaikan bantuan pakaian dan duit raya kepada seramai 254 anak yatim dan miskin dari beberapa rumah anak yatim.

Mereka terdiri daripada 120 orang dari Rumah Anak yatim Darul Falah, Bukit Payong, Pertubuhkan Kebajikan Anak yatim (Perkaya) Besut (112 orang) dan Rumah Anak Yatim Darul Himli Seberang Takir (22 orang).

No comments:

Post a Comment