Monday, August 5, 2013

JPJ Sasar Pertingkat POBC Hingga 75 Peratus

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berhasrat menaikkan tahap kesedaran pengguna jalan raya terhadap keselamatan jalan raya dengan meningkatkan persepsi ditangkap melakukan kesalahan (POBC) sehingga 75 peratus.

Ketua Pengarahnya Datuk Ismail Ahmad berkata berdasarkan kajian oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan raya Malaysia (Miros), setakat ini POBC dalam kalangan pengguna jalan raya hanya antara 35 dan 40 peratus, dan hanya meningkat ke 50 peratus ketika musim perayaan.

Menerusi POBC ini, pengguna akan lebih beretika dan bertimbang rasa ketika di jalan raya kerana mereka akan takut ditangkap ketika melanggar peraturan, katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu, selepas menyertai Ops Khas Motosikal sempena perayaan malam kelmarin.

Operasi kali kedua itu dijalankan secara serentak di seluruh negara dengan melibatkan 1,781 anggota daripada sembilan agensi penguatkuasaan termasuk 1,256 orang daripada JPJ.

Selain JPJ, agensi lain yang menyertai operasi itu ialah Polis Diraja Malaysia, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat serta Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

Turut terlibat ialah Jabatan Keselamatan Jalan Raya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta Jabatan Imigresen.

No comments:

Post a Comment