Thursday, August 29, 2013

Kementerian Akan Kaji Tindakan Kerajaan P.Pinang Sekat TayanganTanda Putera


Kementerian Komunikasi dan Multimedia akan mengkaji sama ada filem kontroversi, Tanda Putera boleh disekat daripada ditayangkan di semua pawagam di Pulau Pinang ataupun tidak.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, beliau akan melihat sama ada keputusan larangan itu adalah di bawah kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ataupun agensi lain. "Saya akan lihat apakah ini di bawah kuasa kerajaan tempatan (PBT).

Mereka boleh melarang, misalnya lesen untuk panggung wayang di bawah kuasa kerajaan tempatan.
"Tetapi adakah kuasa ini digunakan untuk mengharamkan sesuatu filem (daripada ditayangkan).

"Ini suatu perkara yang baru perlu dilihat," katanya kepada pemberita pada majlis pelaksanaan tayangan promo, treler dan nyanyian lagu Negaraku sempena Hari Kemerdekaan negara ke-56 di pawagam Golden Screen Cinemas (GSC), Pavilion semalam.

Beliau mengulas mengenai tindakan kerajaan Negeri Pulau Pinang pada Rabu yang meminta semua pengusaha panggung wayang di negeri itu tidak menayangkan filem kontroversi, Tanda Putera arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba.

Shabery berkata, sekatan terhadap filem kebiasaannya dibuat oleh Kementerian Dalam Negeri khususnya filem-filem yang tidak sesuai, lucah, ganas atau pun menghantar mesej yang salah melalui Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPFM).

Katanya, tidak pernah lagi sekatan filem dibuat oleh kerajaan negeri dengan mengharamkan sesuatu filem daripada ditayangkan di negeri tersebut. "Ini menggambarkan fikiran sempit mereka ingin memulakan budaya "banning" (sekatan) melebihi daripada tahap yang sepatutnya.

"Kita akan lihat bahawa kalau ini berlaku, apakah suatu masa nanti banyak lagi perkara lain yang akan timbul daripada soal ini," katanya.

Beliau menambah, sekatan tayangan filem hanya dilakukan sekiranya ia secara jelas bertentangan dengan prinsip-prinsip LPFM. "Ada banyak perkara yang perlu diberikan ruang untuk dikritik, dibahaskan kerana akhirnya penonton yang akan menilai sesuatu filem," katanya.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng pada Rabu berkata bahawa filem tersebut yang dijadualkan ditayangkan pada Khamis (29 Ogos) mengandungi babak fitnah yang boleh menimbulkan provokasi dan perasaan benci antara kaum.

Lim berkata, kerajaan negeri kecewa apabila Kementerian Komunikasi dan Multimedia membenarkan penayangan filem berkenaan tanpa memotong beberapa babak yang boleh mencetuskan provokasi.

No comments:

Post a Comment