Sektor pelancongan negeri dijangka akan terus berkembang apabila Syarikat Huaxi Group yang berpangkalan di Huaxicun, China menunjukkan minat menjalinkan kerjasama dengan kerajaan negeri untuk membangunkan sebuah pulau di Tasik Kenyir.
Kerjasama itu diperkukuhkan dengan menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan kerajaan negeri serta Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (ketengah), di Tingkat 18, Wisma Darul Iman, semalam.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said menyaksikan MoU berkenaan, masing-masing diwakili Timbalan Setiausaha Kerajaan negeri (Pembangunan), Datuk Mat Razali Kassim dan Pengurus Besar Ketengah, Wan Mat Amin Wan Daud.
Sementara Huaxi Group diwakili Pengerusinya, Wu Xie ‘en. Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah.
Menteri Besar berkata, kerajaan negeri mengalu-alukan dan berbesar hati sekiranya syarikat itu dapat melabur di sektor pelancongan sama ada membina hotel, resort atau kemudahan lain.di Tasik Kenyir.
“Syarikat ini juga berminat dalam bidang carigali, minyak dan gas serta pelabuhan selepas meninjau industri itu di pelabuhan Kemaman, selain mereka melawat ke Tasik Kenyir, “katanya.
Susulan itu, kerajaan negeri akan mengadakan lawatan balas ke perkampungan Huaxicun, China bagi meninjau sendiri kemajuan ekonomi dan pembangunan dalam pelbagai sektor di penempatan itu, pada 8 hingga 10 September ini.
Beliau berkata, lawatan balas itu nanti akan mengukuhkan perancangan dan kerjasama yang mampu dilaksanakan antara dua pihak.
Rombongan dari China yang disertai lapan peserta itu dalam rangka lawatan lima hari ke negeri ini sejak Sabtu lalu yang berakhir semalam.
No comments:
Post a Comment