Tuesday, August 20, 2013

Kerajaan Terengganu Akur Pelan MKN Bawa Pelajarnya Pulang Ke Malaysia


Kerajaan Terengganu akan mematuhi pelan penyelarasan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan sedia membawa pulang semua pelajar negeri ini di Mesir apabila perintah evakuasi dikeluarkan kerajaan pusat. 

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-Tugas Khas negeri Ghazali Taib berkata kerajaan negeri tidak akan bertindak sendirian dan menunggu arahan terkini MKN.

"Setakat ini, semua pelajar tajaan kerajaan Terengganu di negara bergolak itu dilaporkan selamat, dan situasi di sana sedang dipantau dari semasa ke semasa.

"Daripada 620 pelajar, kira-kira 300 orang masih berada di Mesir kerana menduduki peperiksaan manakala selebihnya sudah pulang ke tanah air," katanya pada sidang akhbar khas kelmarin.

Turut hadir Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu Datuk Rozali Salleh dan Timbalan Pengarah (Pendidikan) Yayasan Terengganu Razali Mahmud.

Ghazali berkata semua pelajar dinasihat mematuhi pekeliling Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah dan Education Malaysia Egypt serta menjauhkan diri daripada kawasan berlakunya demonstrasi dan pertempuran.

Beliau berkata pelajar juga diingatkan agar menyediakan duit, makanan dan barang keperluan secukupnya sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan.

"Selain itu, kita juga ingatkan pelajar agar tidak menyebarkan sebarang maklumat antikerajaan Mesir atau apa juga perkara berkaitan pergolakan di negara itu di laman sosial seperti Facebook dan Twitter atas dasar keselamatan," katanya.

Ghazali juga kerajaan sentiasa memantau perkembangan terkini Mesir dan keputusan drastik akan diambil jika keadaan di sana semakin meruncing serta tidak terkawal dengan memindahkan mereka ke negara berdekatan.

Sehubungan itu, beliau berharap semua ibu bapa tidak bimbang dengan keselamatan anak masing-masing dan mendoakan kesejahteraan mereka di sana.

"Keselamatan pelajar menjadi keutamaan kerajaan dan kita mempunyai pegawai di Mesir bagi membantu memantau keadaan," katanya.

No comments:

Post a Comment