Wednesday, August 14, 2013

Kokitab Rancang Bina Dua Pajak Gadai Islam

Koperasi Kakitangan Kerajaan Terengganu Berhad (Kokitab) akan melabur sebanyak RM6 juta untuk membuka pajak gadai Islam di Dungun dan Kemaman dalam masa terdekat.

Pengerusinya Alias Mustafa berkata koperasi itu kini mencari bangunan yang sesuai di kawasan berkenaan. 

"Kita akan bergerak aktif dalam bidang perniagaan pajak gadai Islam memandangkan perniagaan itu memberi pulangan yang baik dan menguntungkan dan ini merupakan sumber pendapatan baharu kepada Kokitab selain projek-projek yang sedia ada," katanya semalam.

Beliau berkata Kokitab telah mempunyai sebuah pajak gadai Islam di bandar Kuala Terengganu yang dimulakan tahun lepas dan berjaya mencatatkan keuntungan lumayan pada tahun pertama operasi.

Kokitab melabur sebanyak RM3 juta bagi pajak gadai Islam itu yang memberi manfaat kepada lebih 10,000 anggota Kokitab dan bukan anggota terutamanya peniaga-peniga kecil.

Menurut beliau salah satu faktor pajak gadai Islam itu mendapat sambutan ialah kerana cukai perkhidmatan yang dikenakan agak rendah berbanding pajak gadai konvensional.

Alias berkata selain pajak gadak Islam, Kokitab juga akan bergerak aktif dalam bidang perniagaan hartanah dengan membina rumah kedai atau kediaman untuk anggota.

"Kalau ada sesiapa yang mahu menjual tanah bolehlah berhubung dengan kita untuk kita lihat dan beli," katanya.

Beliau berkata Kokitab sudah memiliki sebuah bangunan empat tingkat bernilai kira-kira RM4 juta dan akan membina bangunan baharu empat tingkat di Gong Badak berharga RM8 juta yang akan dibina awal tahun depan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Kokitab berjaya mencatat keuntungan RM1.8 juta pada tahun lepas dan merupakan yang tertinggi dalam masa 10 tahun.

Beliau berkata daripada jumlah itu sebanyak RM1.2 juta telah dibayar dalam dividen kepada anggota seminggu sebelum hari raya lepas.

No comments:

Post a Comment