Wednesday, August 14, 2013
Pencapaian Atlet Sukan Berkuda Terengganu Membanggakan
Pencapaian atlet sukan berkuda negara, khususnya atlet Terengganu harus dipuji apabila berjaya mendapat tempat keempat dalam kejohanan FEI World Endurance Championships for Young Riders & Juniors 2013 di Perancis, baru-baru ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, beliau bangga dengan pencapaian atlet negeri ini kerana daripada tujuh peserta mewakili Malaysia dalam pertandingan tersebut, empat daripada mereka merupakan anak Terengganu.
"Saya ingin merakamkan setinggi penghargaan dan tahniah kepada semua ahli pasukan Endurance negara, khususnya atlet Terengganu kerana telah melakar kejayaan cemerlang dalam kejohanan tersebut.
"Dengan melayakkan diri ke pertandingan ini sudah menjadi satu kejayaan, apatah lagi menempatkan diri di kedudukan yang membanggakan,” katanya.
Tambah beliau lagi, pencapaian yang ditunjukkan atlet Terengganu menjadi pelengkap kepada kepelbagaian pencapaian sukan dan pembangunan mampan negeri.
"Kejayaan ini sudah tentu menambahkan lagi koleksi sejarah kecemerlangan dicipta anak-anak Terengganu khususnya di peringkat antarabangsa.
"Sebab itu negara-negara maju melabur peruntukan besar dalam sektor dan industri sukan, kerana disamping sebagai pengukuh kepada negara, sukan juga mampu memberi pulangan ekonomi yang baik jika dijadikan satu industri bagi peringkat ekonomi yang betul,” katanya kepada Teganukita.
Selain itu, selepas mencipta kejayaan gemilang dipersada antarabangsa pada sukan Formula Future beberapa tahun yang lalu, atlet Terengganu semakin menyerlah dan mempamerkan kemampuan luar biasa dalam bidang sukan yang lain.
"Hari ini negeri kita menjadi penyumbang teramai atlet-atlet mewakili negara dalam temasya antarabangsa seperti sukan Sea, Asia, Komenwel dan Olimpik. Jadi, tidak hairanlah jika Terengganu sekarang menjadi kuasa sukan negara,” katanya lagi. Baru-baru ini, atlet-atlet berkuda negara diraikan dalam Majlis Pengurniaan Insentif kepada Atlet FEI World Endurance Championships for Young Rides & Juniors 2013 di Permai Inn, Kuala Terengganu.
Selain Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Muhammad Ismail Ibni Al-WathiquBillah Sultan Mizan Zainal Abidin, atlet Terengganu Azizatul Asma Abdullah, Muhammad Alif Sabidi dan Mohamad Adhwa Embong turut menyertai kejohanan tersebut.
No comments:
Post a Comment