Sunday, August 4, 2013

New Zealand Beri Amaran Produk Tenusu Tercemar Dengan Botulisme


New Zealand memberi amaran kepada pengguna antarabangsa bahawa produk berasaskan tenusu yang dieksport oleh syarikat Fonterra, termasuk susu formula bayi mungkin tercemar kerana mengandungi bakteria yang boleh menyebabkan penyakit botulisme - yang boleh membawa maut.

Kerajaan New Zealand berkata pati protein tercemar atau produk yang menggunakan ramuan berkenaan telah dieksport ke Australia, China, Malaysia, Arab Saudi, Thailand dan Vietnam.

Syarikat tenusu terbesar di New Zealand, telah menghasilkan produk berkenaan sejak setahun lalu berkata, lapan pengguna telah dinasihati untuk menyiasat sama ada produk tenusu yang mereka gunakan memberikan kesan sampingan dalam kehidupan mereka.

Sekiranya perlu, produk yang tercemar itu akan ditarik balik daripada pasaran, kata syarikat berkenaan dalam satu kenyataan. Setakat ini tiada sebarang laporan, penyakit berkait dengan penggunaan bakteria protein berkenaan.

Menteri Perdagangan New Zealand, Tim Groser berkata pertubuhan kesihatan di seluruh dunia, termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), telah dimaklumkan mengenai pencemaran berkenaan.

"Sebaik sahaja pihak berkuasa New Zealand memaklumkan mengenai risiko berkenaan, kami telah bertindak dengan memaklumkan kepada pihak berkuasa yang terlibat di seluruh dunia," kata Groser.

"Kami difahamkan pasaran bahan protein tercemar atau produk yang menggunakan bahan tersebut telah dieksport ke Australia, China, Malaysia, Arab Saudi, Thailand dan Vietnam."

Syarikat berkenaan berkata produk yang terjejas digunakan dalam bahan minuman termasuk susu formula bayi dan minuman isotonik.

"Kami sedang melakukan sebaik mungkin untuk membantu pengguna dalam memastikan sebarang produk yang mengandungi bahan ini akan ditarik balik daripada pasaran dan kami memastikan orang tahu mengenainya," kata ketua pegawai eksekutif syarikat tersebut.

Antara simptom-simptom penyakit botulisme termasuklah, berasa loya, cirit-birit, muntah-muntah dan diikuti dengan lumpuh anggota badan dan ia boleh membawa maut jika tidak dirawat.

Syarikat berkenaan berkata impak yang mungkin dihadapi oleh mereka yang makan produk yang mengandungi bahan yang tercemar tersebut berbeza-beza mengikut peringkat umur dan jumlah makanan yang mereka ambil. Bagi golongan dewasa, kesan bahan protein yang tercemar adalah kecil dan mereka juga mungkin mengalami simptom berkenaan tanpa menyedarinya," kata pengarah urusan produk tenusu New Zealand kepada pemberita.

Sementara itu, Fonterra Malaysia menegaskan semua produk keluaran syarikat berkenaan yang dipasarkan di negara ini, termasuk Anmum, Anlene and Anchor/Fernleaf, tidak terjejas dengan botulisme yang telah ditarik balik daripada pasaran oleh syarikat tenusu keluaran New Zealand.

Kementerian Kesihatan dijangka mengeluarkan kenyataan berhubung isu berkenaan dalam tempoh terdekat. 

Berikut adalah kenyataan penuh Fonterra Malaysia: Fonterra hari ini (Sabtu, 3 Ogos, 2013) mengesahkan semua produk pengguna keluaran Fonterra di Malaysia termasuk Anmum, Anlene and Anchor/Fernleaf, tidak terjejas dengan isu kualiti yang diumumkan oleh syarikat pengendalinya pada 3 Ogos 2013.

Fonterra memberi jaminan kepada pengguna di seluruh dunia termasuk Australia, Asia, China, Amerika Latin, New Zealand dan Timur Tengah bahawa tiada produk pengguna di negara tersebut tercemar dengan asid protein (WPC80).

Difahamkan semua produk keluaran Fonterra di Malaysia termasuk Anmum, Anlene and Anchor/Fernleaf juga selamat untuk digunakan.

Pengarah Urusan Fonterra Malaysia, David Ross berkata: "Semua pengguna produk kami di Malaysia tidak terjejas dengan isu ini dan semua produk kami selamat untuk digunakan."

No comments:

Post a Comment