Sunday, August 25, 2013

Peranan Bekas Anggota Puteri Tidak Wajar Diketepikan, Kata Azalina


Peranan bekas Puteri Umno dalam memperkasakan parti tidak harus diketepikan malah perlu terus dipupuk bagi mengelak mereka berpaling kepada parti lain, kata bekas ketua sayap itu Datuk Seri Azalina Othman Said.

Katanya sekarang terdapat lebih 200,000 bekas anggota Puteri yang hanya bergelar anggota Umno selepas melebihi had umur Puteri, kerana tidak ada mekanisme yang membolehkan mereka diserap ke dalam Wanita Umno secara automatik. "...yang ada hanya peraturan yang menyebut mereka secara automatik anggota Umno.

"Kita sudah latih mereka sebagai 'tentera' semasa pilihan raya umum dan selepas berusia 35 tahun, bekas anggota Puteri tidak lagi mempunyai peranan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Aidilfitri Parlimen Pengerang.


Katanya perkara itu antara faktor yang menyebabkan beliau mahu mencabar Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil bagi jawatan ketua Wanita Umno.

Azalina berkata ketokohan anggota Puteri Umno juga terbukti apabila ramai antara mereka yang memenangi kerusi pada pilihan raya umum baru-baru ini.

Keputusan saya untuk bertanding bukan untuk mewujudkan revolusi yang boleh mencetuskan kacau-bilau, tetapi satu evolusi ke arah kebaikan, katanya.

Setakat ini Anggota Parlimen Pengerang itu satu-satunya calon yang mengumumkan secara rasmi akan mencabar Shahrizat pada pemilihan Umno yang dijadualkan Oktober depan.

No comments:

Post a Comment