Sunday, August 25, 2013

1,219 Jemaah Ikuti Kursus Perdana Haji Peringkat Negeri

Speaker Dewan Undangan Negeri Terengganu, Mohd. Zubir Embong yang mewakili Menteri Besar merasmi kursus.
Seramai 1,219 bakal haji iaitu 597 jemaah lelaki dan 622 jemaah wanita mengikuti Kursus Perdana Haji peringkat negeri yang bermula petang semalam.

Kursus selama dua hari yang menghimpunkan para jemaah dari seluruh negara khususnya dari negeri Terengganu dan Kelantan itu merupakan lanjutan daripada beberapa kursus awal yang diadakan sebelum ini.

Pengarah Tabung Haji negeri, Mohammad Mokhzani Mukhtar berkata, kursus yang menekankan latihan secara praktikal itu bertujuan membiasakan para jemaah terutama yang baharu kali pertama menunaikannya agar tidak berasa kekok ketika berada di Tanah Suci.

"Para jemaah ini juga akan diberikan taklimat khas berkaitan cara menjaga dan mengekalkan kesihatan sepanjang berada di Mekah.

"Di samping itu, melalui kursus ini juga, kita akan sampaikan maklumat terkini mengenai situasi semasa termasuk apa yang berlaku di sana agar para jemaah mendapat gambaran awal sebelum berlepas ke sana," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Mingguan Malaysia ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Kursus Perdana Haji 1434H/2013M peringkat Negeri Terengganu di Stadium Tertutup Gong Badak, semalam.

Hadir menyempurnakan perasmian majlis itu ialah Speaker Dewan Undangan Negeri Terengganu, Mohd. Zubir Embong yang mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.

Terdapat lima penerbangan haji yang akan bertolak dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) pada tahun ini dengan penerbangan pertama dijangka bermula pada 17 September ini.

Dalam pada itu, Mohammad Mokhzani berkata, terdapat beberapa kelainan yang ditampilkan untuk para jemaah yang akan berlepas dari LTSM pada musim haji kali ini.

"Antaranya ialah mereka (para jemaah) akan ditempatkan di Hotel Tabung Haji (TH) yang terletak di Gong Badak di sini untuk sesi pendaftaran.

Selepas itu, mereka akan dibawa ke lapangan terbang dengan menaiki bas dari hotel berkenaan," katanya.

No comments:

Post a Comment