Saturday, August 3, 2013

Satu Nafi Caj Komisen Kepada Pengguna

Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (Satu) menafikan syarikat mengenakan caj komisen kepada pengguna yang membuat bayaran bil.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Husain Embong menjelaskan caj komisen 70 sen kepada pengguna dikenakan oleh agensi kutipan luar sebagai caj perkhidmatan mulai Jun lalu.

"Perkhidmatan yang mereka berikan dengan kadar yang berbeza-beza dan Satu tidak mengambil satu sen pun daripada caj berkenaan.

"Satu tidak membuat keuntungan daripada caj itu, bayaran yang diterima adalah mengikut jumlah penggunaan air sebagaimana yang dibilkan kepada pengguna dan tidak bertujuan membuat keuntungan mudah dalam hal ini seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak," katanya dalam satu kenyataan di Kuala Terengganu, semalam.

Pengguna mempunyai pilihan sama ada membuat bayaran di agensi kutipan luar dan dikenakan caj oleh agensi berkenaan atau berurusan di kaunter Satu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) atau Telekom Malaysia (TM) tanpa dikenakan caj.

No comments:

Post a Comment