Friday, August 23, 2013

Satu Tubuh Unit Bermotosikal Bagi Tangani Masalah Kebocoran Bekalan Air

Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (Satu) telah menubuhkan unit khas bermotosikal bagi mengesan kerosakan dan kebocoran paip air dalam usaha menurunkan kadar air tanpa hasil (NRW).

Ketua Pegawai Eksekutif Satu, Husain Embong berkata unit bermotosikal itu akan membaiki kerosakan paip air dengan serta merta atau meminta bantuan tambahan sekiranya masalah di lokasi tidak dapat diatasi. 

Beliau berkata unit berkenaan telah mula beroperasi di daerah Kuala Terengganu awal tahun ini dan akan diperluaskan ke daerah lain sekiranya khidmat unit itu didapati berkesan.

"Setiap tahun kami menerima antara 20,000 dan 26,000 aduan orang ramai dengan majoritinya mengenai masalah paip bocor," katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu, semalam.

Husain berkata kadar NRW kini adalah 35 peratus daripada jumlah pengeluaran air terawat dan punca utama kehilangan air itu disebabkan kebocoran akibat penggunaan paip-paip yang sudah usang.

Beliau berkata kerajaan negeri telah meminta pihaknya menurunkan kadar NRW bagi memastikan anak syarikat kerajaan negeri itu tidak mengalami kerugian pada masa depan.

Berikutan arahan itu, katanya pihaknya sedang membuat pemantauan sepanjang masa bagi menurunkan kadar NRW secara berperingkat mulai tahun ini.

No comments:

Post a Comment