Sekitar 1,000 peminat sukan berbasikal dijangka menyertai Terengganu Century Rider 2013 (TCR2013) iaitu cabaran berbasikal sejauh 160 kilometer menjelajah keindahan negeri ini pada 15 Sept ini.
Pengarah Acara TCR2013, Zulkarnain Shah A Rahman berkata acara edisi kedua itu turut membabitkan peserta dari Singapura, Thailand dan Indonesia.
"Tahun ini Pedal Explorer dan Team 1Permai selaku penganjur bersama TCR2013 akan memastikan peserta bakal menikmati kayuhan yang lebih meriah dengan laluan yang mencabar tetapi menarik.
"Antaranya ialah laluan ladang kelapa sawit yang berbukit, keindahan tepian pantai dan juga kampung nelayan yang akan menjanjikan pengalaman cukup indah buat semua kali ini," katanya pada sidang media di Wisma Darul Iman, di Kuala Terengganu, Khamis.
Turut hadir Timbalan Pengerusi Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Mohd Mahdi Musa serta Pengurus Besar Hotel Permai, Azman Ali.
Acara itu diadakan sempena Tahun Melawat Terengganu 2013.
Zulkarnain Shah berkata walaupun acara itu agak mencabar, ianya tidak menghalang bagi remaja seawal 16 tahun, kaum wanita dan warga emas berumur selewat 65 tahun untuk turut serta menyahut cabaran itu.
Katanya peserta diwajibkan menamatkan kayuhan dalam masa lapan jam bagi mendapat pengiktirafan sebagai seorang 'Centurion'.
TCR2013 mempertandingkan lima kategori iaitu Junior (Bawah 18 Tahun), Terbuka (18-34 Tahun), Veteran (35-45 Tahun), Veteran Senior (46 tahun ke atas) dan Terbuka Wanita.
No comments:
Post a Comment