Thursday, September 19, 2013

30,000 Pengunjung Dijangkakan Di Pameran Hari Malaysia Di Kuala Terengganu

Kira-kira 30,000 pelawat dijangka mengunjungi pameran khas sempena sambutan Jubli Emas Hari Malaysia dari 16 Sept hingga 16 Okt depan di Perpustakaan Awam Negeri Terengganu (PPAT) di Kuala Terengganu.

Pameran anjuran kerajaan negeri Terengganu dengan kerjasama PPAT itu bertujuan meningkatkan semangat patriotisme di kalangan rakyat Terengganu dan mendidik mereka agar menghargai keamanan yang dikecapi selama ini.

Pengerusi Jawantankuasa Sains & Teknologi, Alam Sekitar, Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Negeri Terengganu, Datuk Ahmad Razif Abd Rahman berkata pameran itu memaparkan pelbagai kisah menarik dan suka duka perjuangan para wira negara.

"Kita juga pamerkan sejarah mengenai pencapaian cemerlang rakyat Terengganu dalam pelbagai bidang khususnya pendidikan dan sukan di bawah pentadbiran Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.
"Jika mendapat sambutan, pameran ini akan kita lanjutkan tempohnya," kata Ahmad Razif selepas perasmian pameran itu yang disempurnakan Ahmad.

Sementara itu, PPAT akan mengadakan program jualan buku - 'The Amazing Book Sale' selama lima hari bermula 25 Sept ini.

Pengarah PPAT Datuk Nor Akmal Abdul Fatah berkata pihaknya akan menjual pelbagai jenis bahan bacaan berbahasa Inggeris dan Melayu untuk pelbagai peringkat umur dari pra sekolah hingga ke golongan profesional.

Potongan harga diberikan daripada 40 hingga 90 peratus, katanya dalam satu kenyataan Rabu. Jualan diadakan di lobi perpustakaan berkenaan dari 9 pagi hingga 9 malam.

No comments:

Post a Comment