Thursday, September 12, 2013

85 Peratus Mesyuarat Cawangan Umno Di Terengganu Selesai

Sebanyak 85 peratus daripada 1,019 cawangan Umno di Terengganu telah selesai mengadakan mesyuarat perwakilan cawangan masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno Negeri Terngganu Datuk Muda Mamat berkata 15 peratus lagi cawangan masih belum bermesyuarat dan mereka perlu berbuat demikian sebelum 12 tengah malam 15 Sept ini.

"Saya difahamkan ada juga satu, dua sayap parti seperti Pemuda dan Puteri yang perlu mengadakan mesyuarat semula apabila mesyuarat yang diadakan sebelum ini tidak sah kerana tidak cukup korum. 

"Setakat ini, saya belum terima maklumat mengenai ada cawangan yang tidak sah bermesyuarat kerana tidak cukup korum.

Jika ada, kita harap mereka mengadakan mesyuarat sebelum 12 tengah malam 15 Sept," katanya kelmarin.

Muda berkata bagi pemilihan di peringkat Bahagian pula semua calon yang ingin bertanding dikehendaki mendaftarkan permohonan di pejabat Badan Perhubungan Umno Negeri pada 21 Sept mulai 8 pagi hingga 5 petang.

Terengganu mempunyai lapan Bahagian Umno dengan 1,019 daripada 1,023 cawangan yang layak mengadakan mesyuarat bagi memilih pucuk pimpinan bagi penggal 2013/14.

"Ada juga cawangan yang tidak layak untuk mengadakan mesyuarat kemungkinan disebabkan mereka tidak menghantar laporan kepada Pendaftar Pertubuhan atau cawangan berkenaan diberi amaran ataupun digantung," katanya.

No comments:

Post a Comment