Thursday, September 12, 2013

Peniaga Dan Penjaja Terengganu Digalak Mantapkan Diri Bagi Tampung Keperluan Sektor Borong/Runcit

Peniaga dan penjaja di negeri ini digalak berusaha memantapkan diri bagi memenuhi keperluan sektor pemborongan dan peruncitan yang berpotensi besar pada masa hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan negeri Roslee Daud berkata sektor itu berupaya menyumbang sehingga RM165 bilion kepada Pendapatan Negara Kasar (PNK) menjelang 2020.

Sektor itu juga mampu menyediakan 370,000 peluang pekerjaan baru dalam tempoh 10 tahun akan datang. 

"Dalam masa yang sama, corak baru berniaga sekarang turut menyentuh mengenai kepentingan pembangunan modal insan bagi memastikan tahap intelek, kompetensi dan kecekapan rakyat selari dengan kriteria negara berpendapatan tinggi yang akan dicapai menjelang 2020," katanya.

Roslee berkata demikian ketika berucap merasmikan kursus pemantapan penjaja dan peniaga kecil 2013 peringkat negeri Terengganu  pada 9 September lalu yang turut dihadiri Pengarah SSM Terengganu Rohaimi Abdul Manan. 

"Menyedari keperluan itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dengan kerjasama Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan agensi kerajaan yang berkaitan telah merangka pelan latihan dan kursus bagi membantu menggerakkan transformasi minda serta kemajuan diri penjaja dan peniaga kecil," katanya.

Beliau berkata setakat ini 37,048 penjaja dan peniaga kecil Terengganu termasuk 12,000 di Kuala Terengganu, telah mendaftar untuk mengikuti latihan dan kursus berkenaan.

Oleh itu, beliau berkata bagi peniaga atau penjaja yang belum mendaftar, mereka diminta agar segera berbuat demikian dan merebut setiap inisiatif yang ditawarkan kerajaan khas untuk golongan itu.

Beliau berkata KPDNKK juga menawarkan skim pembiayaan mikro tanpa faedah kepada penjaja dan peniaga kecil melalui Bank Rakyat bagi membantu golongan itu memajukan perniagaan mereka.

Roslee berkata sehingga Ogos lepas, KPDNKK telah menerima 27,228 permohonan dari seluruh negara dan manakala sebanyak 1,445 permohonan dari Terengganu dan dari jumlah itu 998 pemohon menerima skim pembiayaan mikro dengan jumlah keseluruhan RM4.5 juta.

Ketika ditanya mengenai kesan kenaikan harga minyak, Roslee berkata kerajaan hanya mengurangkan sedikit subsidi minyak dan peniaga tidak perlu mengambil kesempatan dengan apa yang berlaku.

Katanya setakat ini belum ada sebarang aduan kenaikan harga barang diterima di Terengganu dan jika berlaku, diharap orang ramai tampil membuat aduan kepada KPDNKK supaya tindakan boleh diambil.

No comments:

Post a Comment