Thursday, September 5, 2013

Ali Rustam Sah Bertanding Naib Presiden UMNO


Bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Mohd Ali Rustam semalam menamatkan teka-teki jawatan yang akan ditandingi beliau pada pemilihan UMNO akhir tahun ini apabila mengesahkan bertanding jawatan Naib Presiden parti itu.

Beliau berkata, dengan penawaran itu, dapat memberi peluang kepada ahli parti membuat pilihan terbaik dalam proses mentransformasi dan pendemokrasian dalam parti.

"Selepas saya fikirkan pandangan rakan-rakan (mengatakan) saya pernah pegang jawatan naib presiden dan Majlis Tertinggi (MT), maka jawatan yang sesuai untuk saya tawarkan diri kali ini adalah naib presiden UMNO.

"Seperti yang saya pernah sebut sebelum ini, saya menyokong penuh jawatan nombor satu dan dua iaitu Presiden dan Timbalan Presiden tidak perlu dipertandingkan demi perpaduan dan keutuhan parti," katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Aidilfitri di Rumah Melaka, Kuala Lumpur.

 Mohd Ali, 64, berkata keputusan bertanding jawatan naib presiden bukan untuk melawan atau menidakkan sesiapa malah melihat semua calon yang telah menawarkan diri mempunyai kelebihan masing-masing berdasarkan sumbangan dalam kerajaan dan parti.

Ketiga-tiga penyandang Naib Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sudah mengesahkan mempertahankan jawatan itu, manakala bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad mengesahkan untuk bertanding jawatan yang sama.

"Saya lihat ahli-ahli parti sudah bijak untuk menilai, tidak perlu hendak memperinci apa yang patut mereka nilai kerana mereka boleh melihat sendiri dan menilai sendiri apa yang terbaik untuk mereka.

"Mereka boleh melihat rekod-rekod dalam parti dan kerajaan, semuanya telah berjasa termasuk calon-calon lain yang menawarkan diri semuanya mempunyai jasa, sumbangan dan pengorbanan," katanya.

Mohd Ali berkata, beliau akan terus memperjuangkan kepentingan orang Melayu dan kedudukan Islam di negara ini mengikut apa yang telah termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.

Ditanya mengenai peluang pada pemilihan kali ini memandangkan beliau tidak memegang jawatan dalam kabinet, Mohd Ali berkata beliau mempunyai lebih masa untuk memberi tumpuan kepada peringkat akar umbi dan menjadi penghubung antara pimpinan tertinggi parti dan rakyat.

"Berasaskan pengalaman lepas dalam parti dan kerajaan saya fikir, saya boleh membantu menyumbang dalam proses memperkuatkan parti dan kerajaan kita," katanya.

No comments:

Post a Comment