Thursday, September 5, 2013

Kerajaan Perlu Rangka Pelan Jelas Bagi Golongan Berpendapatan Rendah Dan Sederhana Dalam Belanjawan 2014

Kerajaan perlu menyediakan satu pelan untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana dalam Belanjawan 2014 bagi menangani kos sara hidup yang meningkat akibat pemotongan subsidi minyak petrol dan diesel.

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menyarankan kerajaan memperkenalkan beberapa langkah antaranya pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia dan potongan cukai yang lebih khusus.

"Pemuda Umno harap kerajaan mengambil serius tentang kenaikan harga barangan yang pasti akan berlaku selepas ini," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa Pergerakan pemuda Umno di Kuala Lumpur, semalam.

Isnin lepas, kerajaan mengumumkan subsidi bagi RON95 dan diesel dikurangkan sebanyak 20 sen seliter berkuat kuasa semalam.

Khairy, yang juga Menteri Belia dan Sukan, berkata dalam usaha merasionalisasikan subsidi ke arah mengurangkan defisit fiskal kerajaan, langkah pengurangan subsidi ditanggung semua pihak bukan hanya subsidi am kepada rakyat.

Justeru, beliau meminta kerajaan untuk turut mengkaji semula pemberian subsidi kepada syarikat-syarikat besar seperti subsidi gas yang diberikan kepada kilang-kilang di seluruh negara.

"Pemuda Umno juga minta kerajaan sama-sama berkongsi beban untuk kita kurang defisit fiskal kerajaan. Kerajaan mestil buktikan melalui penjimatan dan juga melalui usaha mengelak ketirisan berlaku dalam perbelanjaan kerajaan.

"Ini akan beri gambaran jelas kepada rakyat bahawa kerajaan serius dan secara langsung memikul tanggungjawab mengurangkan defisit,"katanya.

Antara lain, katanya, Pemuda Umno juga menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk mengambil tindakan tegas sekiranya terdapat syarikat dan pengusaha yang mengambil kesempatan menaikkan harga perkhidmatan dan barangan dengan harga yang tidak munasabah.

Dalam perkembangan lain, Khairy berkata Pemuda juga membuat ketetapan berhubung Persidangan Meja Bulat Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) bahawa beberapa isu sememangnya tidak boleh dirundingkan antara lain berkenaan syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC).

"Pertama, Kita nak pastikan tiada sebarang peruntukan dalam perjanjian tersebut yang disetujui boleh mendedahkan syarikat GLC tersebut kepada gelanggang yang tidak sama rata. "Kedua, kita tidak akan kompromi dari segi agenda ekonomi Bumiputera.

Tiada apa-apa peruntukan yang boleh menjejaskan sebarang dasar membantu usahawan Bumiputera. "Ketiga, kita juga tegaskan bahawa hal ehwal perolehan kerajaan tidak boleh dimasukkan dalam TTPA," katanya.

No comments:

Post a Comment