Tuesday, September 24, 2013

Anjur Himpunan Black 505 - Syed Azman Mengaku Tidak Bersalah


Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Buruk, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur, semalam atas tuduhan menganjurkan Perhimpunan Black 505 tanpa mematuhi arahan daripada polis.

Perhimpunan Black 505 diadakan  pada 22 Jun di Padang Merbok.

Beliau menghadapi tuduhan alternatif kedua kerana gagal menyertakan salinan kebenaran daripada pihak polis untuk mengadakan perhimpunan tersebut.

Hakim Mahkamah Sesyen, Mat Ghani Abdullah menetapkan dua hari bermula 9 dan 10 Disember sebagai tarikh kes perbicaraan bersama dengan satu kes yang serupa.

Dia didakwa menganjurkan perhimpunan tanpa mematuhi syarat Ketua Polis Dang Wangi ACP Zainuddin Ahmad, iaitu memperoleh persetujuan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menggunakan Padang Merbok bagi tujuan itu.

Syed Azman, 52, didakwa melakukan perbuatan itu di Padang Merbok, Jalan Parlimen di sini antara pukul 2 dan 6 petang 22 Jun lepas mengikut Seksyen 15(3) Akta Perhimpunan Aman 2012 yang membawa hukuman maksimum denda RM10,000 jika sabit kesalahan.

Dia juga berdepan pertuduhan pilihan iaitu gagal menyertakan salinan persetujuan DBKL bertarikh 12 Jun 2013 sepuluh hari sebelum perhimpunan diadakan kepada Zainuddin mengikut Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan jika sabit kesalahan, Syed Azman boleh dihukum mengikut Seksyen 9(5) akta sama yang membawa hukuman maksimum denda RM10,000 jika sabit kesalahan.

Mahkamah turut memerintahkan Syed Azman dibicara bersama-sama dengan Anggota Parlimen Seremban Anthony Loke Siew Fook, Anggota Parlimen Pandan Mohd Rafizi Ramli dan sekretariat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Muhammad Adib Ishar, yang berdepan pertuduhan serupa.

Hakim turut menetapkan 22 Oktober sebagai tarikh pengurusan kes bagi memastikan dokumen lengkap sebelum perbicaraan penuh diadakan.

Syed Azman diikat jamin RM3,000..



No comments:

Post a Comment