Saturday, September 28, 2013

Kegagalan Menyerahsimpan Penyata Tahunan Syarikat Kesalahan Serius - SSM

Kegagalan syarikat dan pengarahnya menyerahsimpan Penyata Tahunan dalam tempoh ditetapkan kepada Pendaftar Syarikat merupakan kesalahan serius dan boleh didakwa di mahkamah mengikut Akta Syarikat 1965.

Menurut Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), ini kerana kegagalan berbuat akan menyebabkan orang awam tidak boleh mendapatkan maklumat tepat dan terkini bagi menentukan kestabilan dan status sesebuah syarikat.

Langkah SSM mengambil tindakan mahkamah terhadap syarikat dan pengarahnya adalah sebagai peringatan agar sentiasa mematuhi peruntukan Akta Syarikat, menurut SSM Terengganu dalam satu kenyataan di Kuala Terengganu, Khamis lalu.

Menurut kenyataan itu, dua syarikat dan pengarahnya, masing-masing didenda berjumlah RM9,400 dan RM3,900 oleh Mahkamah Majistret di Kuala Terengganu, kelmarin bersabit kesalahan gagal menyerahsimpan penyata tahunan syarikat kepada Pendaftar Syarikat. Syarikat Tiara Agih Sdn Bhd didenda RM3,400 manakala dua pengarahnya Tengku Mahri Tengku Chik dan Abdul Hamid Rahasid, masing-masing didenda RM3,000 kerana gagal menyerahsimpan Penyata Tahunan syarikat bagi tahun 2011 dan 2012.

Syarikat Kedai Emas Khamisah Sdn Bhd pula didenda RM1,500 manakala dua pengarahnya Khamisah Yusof dan Shairi Endut masing-masing didenda RM1,200 kerana gagal menyerahsimpan Penyata Tahunan syarikat bagi tahun 2012.

Sekiranya gagal menyerahsimpan penyata tahunan kepada Pendaftar Syarikat dalam tempoh 30 hari dari hari ini, kedua-dua syarikat dan pengarahnya boleh didenda RM200 sehari selagi kesalahan tersebut berterusan, menurut kenyataan itu.

No comments:

Post a Comment