Saturday, September 28, 2013

Pasangan Doktor Teruja Bertemu Sultanah Terengganu





Sepasang suami isteri yang juga doktor di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), tidak menduga mereka antara ibu bapa bertuah dapat bersua wajah dengan Sultanah Terengganu Tuanku Nur Zahirah yang mencemar duli melawat wad bersalin hospital itu kelmarin (26 September).

Lebih manis Dr Siti Fatimah Abd Azman, 26 dan Dr Wan Ahmad Asyraf Wan Md Adnan, 27, baharu bergelar ibu bapa kepada bayi lelaki kira-kira dua jam sebelum keberangkatan tiba Tuanku Nur Zahirah. 

"Anak sulung kami lahir pukul 8.14 pagi tadi (kelmarin). Saya juga doktor di wad ini, manakala suami doktor bius," kata Dr Siti Fatimah kepada pemberita.

Keberangkatan tiba Sultanah Nur Zahirah di wad itu pada pukul 10 pagi diiringi isteri menteri besar Terengganu Toh Puan Seri Norliza Mahmud dan Timbalan Pengarah Klinikal I HSNZ, Dr Nor Azimi Yunus.

Bagi ibu muda berusia 16 tahun yang melahirkan anak sulung Selasa lepas, Nor Atikah Ramly dari Kampung Kubang Parit di sini, dia bersyukur kerana menerima sedikit sumbangan daripada Tuanku Nur Zahirah. "Suami saya cuma bekerja sebagai buruh.

Alhamdulillah, dengan sumbangan ini dapatlah saya guna untuk membeli barangan keperluan anak saya," katanya.

Kunjungan Sultanah Terengganu ke HSNZ itu bersempena ulang tahun keputeraan ke-51 Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin. Dalam kunjungan itu baginda menyampaikan sumbangan wang tunai serta hamper kepada 36 ibu yang baharu menerima cahaya mata.

No comments:

Post a Comment