Sunday, September 15, 2013
Kejayaan Raih Pestabola Merdeka Permulaan Ke Sukan SEA - Kim Swee
Ketua jurulatih skuad Harimau Muda A (bawah 23 tahun) Ong Kim Swee menyifatkan kejayaan merangkul kejuaraan Pestabola Merdeka ke-41 hanya satu permulaan yang mencabar bagi menghadapi Sukan SEA 2013 di Myanmar, Disember ini.
Beliau meminta pemain supaya tidak terbawa-bawa dengan kemenangan tersebut memandangkan banyak bahagian dalam pasukan yang masih perlu diperbaiki sebelum mempertahankan pingat emas Sukan SEA nanti.
Kim Swee berkata demikian kepada pemberita selepas skuad bimbingannya mengalahkan Myanmar 2-0 pada final di Stadium Darul Makmur di Kuantan.
Malaysia menjaringkan gol menerusi Md Rozaimi Abd Rahman pada minit ke-29 dan Putera Nadher Amarhan pada minit ke-94.
Menyentuh mengenai kemenangan tersebut, Kim Swee memuji semua pemain yang bergerak sebagai sebuah unit dan mengikut segala arahannya sebelum ini.
"Pertahanan, penjaga gol, penyerang tengah melakukan tugasan mereka dengan cukup baik dan akhirnya kita berjaya mendapatkan dua gol dari segi pergerakan kita," katanya.
Pada masa yang sama, beliau turut memuji persembahan tiga pemain skuad berkenaan iaitu pemain sayap, Wan Zack Haikal Wan Nor, pemain tengah, Putera Nadher Amarhan serta penjaga gol, Mohd Izham Tarmizi Roslan yang mengekalkan konsistensi sejak perlawanan pembukaan menentang Singapura, Sabtu lepas.
"Kesemua pemain juga inginkan kemenangan dan mereka tunjukkan sikap perjuangan yang positif dalam perlawanan malam ini...Kemenangan ini sangat bermakna bagi saya sempena hari kemerdekaan negara ke-56," katanya.
Dalam perkembangan berasingan, Kim Swee mendedahkan pasukan berkenaan akan bertolak ke Bandung, Indonesia, Rabu ini untuk menyertai kejohanan jemputan di negara berkenaan.
"Menerusi kejohanan ini, saya akan memberikan peluang kepada pemain yang kurang beraksi pada Kejohanan Pestabola Merdeka untuk membuktikan kemampuan mereka untuk terus kekal berada dalam pasukan," katanya.
Sementara itu, pengurus pasukan Myanmar Tin Myint Aung kecewa dengan aksi hambar pasukan itu berbanding pertemuan pada pusingan awal sebelum ini.
"Kami banyak mempelajari daripada kekalahan ini dan perlu memperbaiki segala kelemahan dan kesilapan sebelum menghadapi Sukan SEA nanti," katanya.
Myint Aung berkata skuad itu akan mengikuti sesi latihan serta mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan kelab di Jepun dan Korea Selatan, bulan depan sebagai persediaan ke Sukan SEA nanti.
No comments:
Post a Comment