Sunday, September 15, 2013

Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera Tidak Ambil Hak Orang Lain

Tetamu melaungkan slogan ‘Hidup Melayu’ selepas Najib berucap pada Majlis Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera di Shah Alam, Selangor semalam. 
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Sabtu meminta rakyat supaya tidak salah sangka dan salah faham terhadap usaha pemerkasaan ekonomi Bumiputera yang dilaksanakan bukan dengan jalan memintas atau mengambil hak orang lain mahupun menafikan kepentingan sesiapa.

Sebaliknya, ia dilaksanakan selaras dengan hasrat kerajaan yang mahu terus mencipta serta menjana kekayaan baharu agar nikmat dan kemakmurannya dapat diraih dan dirasai oleh semua rakyat Malaysia secara adil dan saksama.

"Yang pasti! Kami lakukan apa yang adil, kami lakukan apa yang betul, dan kami buat apa yang saksama. Maknanya, kita tidak mempunyai apa-apa 'nawaitu' (niat) atau sekelumit pun rasa prejudis terhadap bangsa lain," kata Perdana Menteri ketika berucap pada Majlis Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera di Shah Alam.

Beliau dengan tegasnya berkata kerajaan ini adalah kerajaan yang berhemah lagi bertanggungjawab ke atas seluruh lapisan rakyat, tanpa mengira latar belakang, sama ada Bumiputera atau bukan Bumiputera, Islam mahu pun bukan Islam.

Najib dan Muhyiddin melihat replika kapal Nautica Tanjung Puteri I keluaran bumiputera sambil diberi penerangan oleh Ketua Keanggotaan E A Technique (M) Sdn. Bhd., Farrah Radziah Abdul Hak (kiri) sempena Majlis Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera 2013 di Shah Alam semalam.



Najib yang juga Menteri Kewangan, berkata sejarah telah membuktikan dalam pembangunan ekonomi negara, terutama sejak Dasar Ekonomi Baru dilaksanakan, bukan sahaja Bumiputera, bahkan semua rakyat Malaysia berkongsi nikmat, meraih manfaat bersama, hasil daripada pembangunan ekonomi negara. 

"Jelasnya, ini telah kita lakukan bukanlah dengan mengambil, atau menidakkan hak sesiapa, tetapi sebenarnya melalui penciptaan kekayaan baharu dan penjanaan pertumbuhan ekonomi yang mampan," katanya.

Perdana Menteri berkata sejak Merdeka, semua perancangan serta dasar ekonomi Bumiputera telah digubal berasaskan perhitungan komposisi masyarakat majmuk tersebut.

Maka, Bumiputera sebagai teras kepada agenda nasional, tidak boleh dinafikan oleh sesiapa dan sebarang prakarsa bersifat nasional yang tidak mengambil kira atau mengabaikan agenda Bumiputera, adalah tidak adil dan saksama, kata Perdana Menteri.

Beliau berkata perkara ini sangat mustahak untuk difahami dengan sebaik-baiknya oleh semua pihak iaitu kerajaan sentiasa menginsafi dan beringat-ingat tentang agenda Bumiputera sebagai agenda nasional.

"Ini kerana, jika sekiranya kaum majoriti Bumiputera tidak terbela dan berasa diri mereka terancam atau dipinggirkan, negara tidak akan mengecapi keamanan, kestabilan, dan kita tidak mungkin mencapai impian menjadi negara maju yang sejahtera dan sentosa seperti yang didambakan pada tahun 2020," kata Najib.

Najib turut menyelar sesetengah pelaku politik yang tidak sudah-sudah menyalakan api perkauman sehingga menggerunkan dan memesongkan pemikiran rakyat.

"Suka tidak suka, seandainya tidak berhati-hati dan terpengaruh dengan sentimen pihak luar, melalui dalang dan petualang dalaman ini, maka, tempiasnya akan terpercik kepada kita.

Sekiranya dibiarkan dan tidak dibendung, Malaysia sebagai sebuah negara bangsa yang berdaulat lagi Merdeka pada akhirnya akan musnah dan membungkam," kata Najib.

No comments:

Post a Comment