Wednesday, September 18, 2013

Khairul Anuar Lakar Sejarah Layak Ke Kejohanan Memanah Piala Dunia


Pemanah negara, Khairul Anuar Mohamad, anak kelahiran Kemaman, melakar sejarah apabila muncul atlet pertama Malaysia layak beraksi di pusingan akhir kejohanan memanah Piala Dunia di Paris pada 21-22 Sept ini.

Beliau mengesahkan tempat untuk beraksi dalam acara 'recurve' apabila mengumpul 25 mata menerusi tiga kejohanan Siri Dunia tahun ini, berada pada kedudukan ketujuh daripada lapan pemanah yang layak menyertai kejohanan berprestij itu.

Juga layak menyertai acara itu ialah dua pemanah Korea Selatan, Oh Jin Hyek dan Lee Seungyun; Dai Xiaoxiang dan Zhang Jianping (China); Nespoli Mauro (Itali) dan Brady Ellison (Amerika Syarikat).

Khairul Anuar, yang akan menyambut hari kelahiran ke-22 pada 22 Sept ini, dijadual menentang pemanah kedua terbaik dunia, Lee Seungyun pada pusingan pertama.

Ketika ditemui pemberita di Majlis Sukan Negara di ibu negara, semalam,  beliau berkata: "Saya pernah lawan pemenang pingat emas Olimpik, Oh Jin Hyek namun belum pernah menentang Lee Seungyun. Apa pun saya akan memberi saingan hebat kepada beliau (Lee Seungyun).

"Dalam memanah, kita tidak boleh jangka kerana atlet yang berada pada kedudukan kelapan, misalnya, juga berpotensi mengalahkan atlet nombor satu dunia," kata atlet Terengganu itu.

Khairul Anuar berkata beliau tidak mahu meletakkan sasaran pingat kerana bimbang ia akan menjejaskan konsentrasinya, namun bertekad memberi sepenuh fokus pada pertandingan itu.

"Namun, pingat emas tetap menjadi harapan saya tetapi ini bukannya mudah. Pada masa ini, saya harap dapat melepasi hingga ke pusingan separuh akhir," katanya.

Dalam pada itu, atlet itu berharap dapat mengatasi kelemahan terutama apabila memperoleh mata yang sama dengan pihak lawan.

"Kesilapan yang selalu saya buat...ketika pihak lawan memperoleh mata hampir sama, rentak bidikan saya akan terganggu. Saya harap perkara itu tidak berlaku semasa hari pertandingan nanti," katanya.

No comments:

Post a Comment