Kraftangan Malaysia menyasarkan peningkatan jumlah jualan produk kraf sebanyak RM510 juta pada tahun depan berbanding sasaran RM400 juta pada tahun ini.
Pengerusinya Datuk Sohaimi Shahadan berkata pihaknya yakin dapat mencapai jumlah sasaran itu berdasarkan jumlah kehadiran pelancong ke negara ini yang dianggarkan mencecah sehingga 28 juta orang sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014.
"Bagi tahun ini pula, kita sudah mencapai jumlah jualan sebanyak 71 peratus daripada RM400 juta yang ditetapkan dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis perjumpaan Usahawan Kraf Negeri Terengganu di Pusat Kraftangan Cawangan Terengganu, semalam.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia Shahrudin Mohd Nor dan Pengarah Kraftangan Terengganu Khairul Hafizi Naharuddin.
Industri tekstil dikenal pasti menjadi sektor utama yang menyumbang nilai jualan tertinggi kraftangan Malaysia diikuti produk hasil rimba, logam, industri tanah dan aneka kraf.
Sebanyak 150 usahawan kraf seluruh Terengganu menghadiri perjumpaan yang diadakan tiga kali setahun itu.
Sohaimi berkata pihaknya juga menyasarkan nilai jualan kraf sehingga RM1 bilion menjelang 2016.
engulas mengenai lambakan songket dari negara luar, beliau berkata ia diakui mampu membunuh industri songket di negara ini namun Kraftangan Malaysia tidak ada kuasa untuk bertindak.
"Kita (Kraftangan Malaysia) memang sedar bahawa kebelakangan ini ada ancaman songket terutama dari India dan Pakistan, tetapi kami tiada kuasa untuk menghalang, merampas dan mengambil produk itu.
"Perniagaan yang dibuat adalah secara telus dan tidak menyalahi undang-undang, sebab itu kita mengambil langkah awal dengan menyarankan penjual melabelkan keaslian keluaran produk," katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihati pembeli supaya berhati-hati dengan songket tiruan dan penjual dilarang mengambil kesempatan mengatakan ia songket asli dari dalam negara.
No comments:
Post a Comment