Wednesday, September 18, 2013
Ruang kantin SK Seri Pristana Diperbesar, Tutup Isu Bilik Persalinan: Idris
Ruang kantin Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Pristana di Sungai Buloh ditambah sekaligus menyelesaikan isu penggunaan bilik persalinan sebagai ruang makan murid-murid.
Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, isu itu tidak perlu dibangkitkan lagi dan semua pihak perlu berusaha memupuk semangat muhibah di sekolah berkenaan.
"Kita tutup kes ini dengan program bermaaf-maafan untuk kembalikan suasana muhibah, perpaduan dan terapkan kasih sayang di sekolah ini," katanya kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan di SK Seri Pristana semalam.
Isu murid makan di bilik persalinan SK Seri Pristana mencetuskan kontroversi berikutan tersebarnya gambar murid bukan Islam makan di bilik itu semasa bulan Ramadan Julai lalu sedangkan bilik persalinan itu dijadikan ruang makan tambahan untuk semua murid sejak beberapa bulan sebelum itu lagi.
Turut hadir Guru Besar SK Seri Pristana Mohamad Nasir Mohd Noor, Naib yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru SK Seri Pristana Nor Azman Katib dan Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Selangor, Shashim Shah Harun.
Idris meluangkan masa hampir dua jam meninjau keadaan kawasan kantin yang sudah siap diperbesar Ogos lepas bagi menampung keperluan murid sekolah berkenaan.
Beliau berkata pihak luar tidak perlu lagi menjadi batu api dalam isu sekolah berkenaan dan memberi tekanan terhadap pihak pengurusan sekolah serta guru.
"Saya harap bermaaf-maafan ini perlu diamalkan di semua sekolah dan semua rakyat Malaysia. Janganlah melihat semua isu dalam konteks perkauman, kerana isu seperti ini (bilik persalinan) tiada kena-mengena dengan perkauman," katanya.
No comments:
Post a Comment