Kuliah Pengajian Al-Furqan di Institut Al-Quran Terengganu (IQ Terengganu) dapat membantu melahirkan masyarakat yang celik Al-Quran serta mendalami ilmunya dengan lebih mendalam.
Pengarahnya Datuk Dr Alias Abdullah berkata kuliah ini merupakan program pengajian Al-Quran khas yang diadakan setiap hujung minggu untuk rakyat Terengganu yang berumur 18 hingga 65 tahun yang telah dipilih berdasarkan kelayakan dan sesi temuduga.
"Melalui kuliah ini, pelajar diajar asas bacaan Al-Quran, termasuklah tajwid hingga ke tahap yang lebih tinggi," katanya ketika ditemui di IQ Terengganu di Marang, semalam.
Menurutnya program itu dijalankan melalui dua kursus utama iaitu Kursus Ulum Al-Quran yang terdapat empat tahap iaitu dari tahap satu hingga tahap empat dan Kursus ad-Dirasat al-Quraniyyah yang mempunyai lima tahap iaitu qiraat, bahasa Arab, tafsir, tahfiz dan tarannum.
Kursus Ulum Al-Quran melibatkan proses pembelajaran dua hingga empat tahun bergantung kepada penguasaan pelajar untuk tempoh masa dua jam seminggu manakala untuk kursus ad-Dirasat al-Quraniyyah melibatkan proses pembelajaran selama empat tahun untuk tempoh masa empat jam seminggu.
Alias berkata program itu telah bermula sejak tahun 1995 dan sehingga kini IQ Terengganu merupakan satu-satunya pusat pengajian di negeri ini yang menjalankan program Qiraat Sub'ah yang terbuka kepada semua lapisan masyarakat Islam dengan setiap tahun 1,600 pelajar baharu mendaftar untuk pengajian ini.
No comments:
Post a Comment