Thursday, September 5, 2013

UMT Buat Tinjauan Udara Pantau Mamalia Marin


Universiti Malaysia Terengganu (UMT) hari ini memulakan program tinjauan melalui udara bagi mengesan spesis mamalia marin di perairan negeri pantai timur termasuk Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Program lapan hari melibatkan lima penyelidik itu mendapat kerjasama Kota Baharu Flying Club (KBFC) dengan menggunakan pesawat ringan jenis Piper 28.

Ketua Program Spesis Marin Terancam Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS) UMT, Prof Madya Dr Saifullah Ariffin Jaaman berkata program pertama kali anjuran UMT itu bertujuan mengesan mamalia marin seperti ikan lumba-lumba, paus dan dugong di kawasan berkenaan.

"Program ini bagi mengesan corak kehadiran, taburan dan kepadatan mamalia marin di kawasan itu," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran program itu di hangar Asia Pacific Flight Training Berhad (APFTB), Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Pengkalan Chepa di Kota Bharu, semalam

Majlis disempurnakan Timbalan Pengarah INOS UMT, Prof Madya Dr Aidy@Mohamed Shawal M. Muslim dan turut dihadiri Presiden KBFC Arif Faruk. Saifullah Ariffin berkata selepas tinjauan udara di kawasan perairan pantai timur itu, pihaknya akan melakukan tinjauan menggunakan bot serta menemu ramah nelayan untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kehadiran mamalia marin di situ.

Selain itu, katanya projek itu juga akan cuba mengesan kemungkinan berlaku tumpahan minyak di kawasan yang ditinjau kerana dikhuatiri boleh mengancam habitat mamalia marin.

Beliau berkata program itu penting ke arah membantu kerajaan melindungi mamalia marin terancam dengan memastikan aspek fizikal dan kimia air laut yang menjadi habitat mereka sentiasa dalam keadaan baik.

No comments:

Post a Comment