Friday, September 13, 2013

Malaysia Berada Di Barisan Hadapan Dalam Menguruskan Tenaga Boleh Diperbaharui

Malaysia menjadi negara barisan hadapan di Asia Tenggara dalam menguruskan tenaga boleh diperbaharui kerana mempunyai mekanisme yang mantap dan kukuh, kata Ketua Pegawai Operasi Lembaga Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia Ir Dr Ali Askar Sher Mohamad.

Beliau berkata kerajaan komited menggalakkan orang ramai menyumbang tenaga boleh diperbaharui dengan menubuhkan SEDA dan penggubalan Akta Tenaga Boleh Diperbaharui 2011 yang sekali gus menjadikan Malaysia sebuah negara contoh.

"Selepas kita lancarkan 'feed-in tariff' pada 1 Dis 2011, baru Filipina dan Indonesia lancar projek yang sama. Kita telahpun mempunyai keyakinan terutamanya dalam solar fotovoltan (PV).

"Oleh itu, kita sebenarnya berupaya menawarkan latihan dan bina upaya bukan saja untuk orang Malaysia tetapi juga di rantau ini," katanya kepada pemberita pada sesi dialog bersama Pemegang Kelulusan Tarif Galakan Individu (FiAH) semalam.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif SEDA Malaysia Datin Badriyah Abdul Malek.

Sementara itu, Badriyah berkata walaupun Malaysia berada di barisan hadapan, kesedaran masyarakat mengenai tenaga boleh diperbaharui masih rendah terutamanya masyarakat luar bandar.

Beliau berkata masyarakat luar bandar kurang terdedah dengan maklumat berhubung kepentingan tenaga boleh diperbaharui terutamanya dalam aspek keselamatan tenaga, isu pemanasan global dan kepentingan ekonomi negara.

No comments:

Post a Comment